
STAROBILSK, 24 Mei – Jumlah korban akibat serangan dron ke atas sebuah asrama pelajar di wilayah Luhansk yang dikuasai Rusia di timur Ukraine meningkat kepada 18 orang, dengan sebahagian besar mangsa terdiri daripada pelajar perempuan. Insiden itu turut mendapat perhatian Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB)
- Putin arah tentera sediakan pilihan tindakan balas selepas Moscow menuduh Kiev melancarkan serangan dron ke atas kolej latihan guru di Starobilsk.
- Ukraine nafikan bertanggungjawab, kata sasar unit arahan dron elit dan operasi mematuhi undang-undang kemanusiaan antarabangsa; Putin dakwa tiada kemudahan ketenteraan.
- Mesyuarat tergempar Majlis Keselamatan PBB, Rusia tuduh jenayah perang manakala Ukraine tolak dakwaan; beberapa negara gesa akses dan kecaman ke atas serangan awam.
Presiden Rusia, Vladimir Putin mengarahkan tentera negara itu untuk menyediakan pilihan tindakan balas terhadap Ukraine pada Jumaat selepas Moscow menuduh Kiev melancarkan serangan dron yang disifatkan sebagai disengajakan ke atas sebuah kolej latihan guru di bandar Starobilsk.
Bagaimanapun, tentera Ukraine menafikan bertanggungjawab terhadap serangan tersebut, sebaliknya menyatakan ia menyasarkan unit arahan dron elit di kawasan berkenaan serta menegaskan operasi ketenteraan mereka mematuhi undang-undang kemanusiaan antarabangsa. Putin pula mendakwa tiada kemudahan ketenteraan di lokasi kejadian.
Di lokasi kejadian pada Sabtu, sebuah kren dilihat sedang mengalihkan runtuhan daripada bangunan yang musnah. Di dalam sebuah bilik darjah yang rosak teruk, batu-bata dan debu memenuhi deretan meja pelajar dengan tulisan “I love English” masih kelihatan di dinding.
Agensi berita rasmi Rusia, RIA melaporkan jumlah kematian meningkat kepada 18 orang berdasarkan maklumat Kementerian Kecemasan. Tiga lagi mangsa dipercayai masih terperangkap di bawah runtuhan.
Ketua pentadbiran lantikan Rusia di wilayah itu, Leonid Pasechnik memaklumkan senarai awal 21 mangsa merupakan pelajar perempuan dan mangsa paling muda berusia 18 tahun manakala 41 lagi mangsa cedera, dengan yang termuda berusia 15 tahun.
Seorang penduduk tempatan berkata serangan roket menyasarkan bekas pangkalan sebelum dron menyerang asrama pelajar, menyebabkan beberapa kebakaran berlaku.
Dalam mesyuarat tergempar Majlis Keselamatan PBB pada Jumaat, Rusia menuduh Ukraine melakukan jenayah perang, manakala Ukraine menyifatkan dakwaan itu sebagai tidak berasas dan belum disahkan secara bebas.
Beberapa negara pula menggesa akses diberikan ke lokasi kejadian, sementara pegawai PBB mengecam semua serangan terhadap orang awam serta mengingatkan insiden serangan peluru berpandu Rusia ke atas gudang PBB di Ukraine minggu ini turut mengorbankan dua pekerja dan memusnahkan bantuan bernilai AS$1 juta.
Ribuan rakyat Ukraine telah terkorban akibat serangan udara jauh dari garisan hadapan yang kebanyakannya statik di tenggara negara itu.
Rusia menyasarkan bekalan tenaga dan infrastruktur Ukraine, manakala Ukraine pula meningkatkan serangan ke atas fasiliti minyak di Rusia tahun ini, yang kadangkala mengakibatkan korban.
Bagaimanaoun kedua-dua pihak menafikan bahawa serangan berkenaan menyasarkan orang awam.
Dalam perkembangan berkaitan, serpihan dron menyebabkan kebakaran di terminal minyak di pelabuhan Laut Hitam Novorossiysk, Rusia, dengan dua orang cedera, menurut pegawai Rusia.
Tentera Ukraine mendakwa ia telah menyerang terminal minyak Sheskharis di Novorossiysk serta depoh minyak Grushova, manakala Presiden Ukraine Volodymyr Zelenskiy berkata pasukan tenteranya turut menyerang sebuah kilang kimia besar di wilayah Perm, Rusia.
Gabenor wilayah Perm, Dmitry Makhonin berkata sebelum ini bahawa sebuah kemudahan industri telah menjadi sasaran dron Ukraine, namun ia berjaya ditembak jatuh tanpa menyebabkan kerosakan.- REUTERS