
LONDON, 24 Mei – Iran dan Amerika Syarikat dilaporkan berada di peringkat akhir untuk memuktamadkan satu memorandum persefahaman (MoU), dengan kedua-dua pihak menunjukkan peningkatan keselarasan pendirian selepas beberapa minggu rundingan, menurut jurucakap Kementerian Luar Iran, Esmaeil Baghaei pada Sabtu.
- MoU mengandungi 14 perkara yang merangkumi isu paling penting untuk menamatkan konflik serta perkara asas bagi Iran.
- Iran mengekalkan pendirian tegas, memastikan tiada peruntukan yang boleh menjejaskan kepentingan nasional dimasukkan.
- Rundingan kini tidak melibatkan perincian isu nuklear atau pelepasan sekatan, walaupun tuntutan pengguguran sekatan disertakan dalam draf.
MoU berkenaan mengandungi 14 perkara itu merangkumi ‘isu-isu paling penting yang diperlukan untuk menamatkan konflik serta perkara asas’ bagi Iran.
Menurut Baghaei Iran, mengekalkan pendirian tegas, dengan memastikan tiada peruntukan yang boleh menjejaskan kepentingan nasional negara itu dimasukkan ke dalam teks perjanjian tersebut.
Bagaimanapun, beliau menjelaskan bahawa fasa rundingan ketika ini tidak melibatkan perincian berkaitan isu nuklear atau pelepasan sekatan.
Walaupun begitu, Iran menegaskan tuntutan supaya sekatan ditarik balik telah dimasukkan dalam draf semasa, yang disifatkan sebagai pendirian tegas dan konsisten negara itu.
Sementara itu, Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump berkata kedua-dua negara kini ‘semakin hampir’ untuk memuktamadkan satu perjanjian, menurut laporan CBS News.
Cadangan terkini itu dilaporkan termasuk proses membuka semula Selat Hormuz, pembekuan semula sebahagian aset Iran yang disimpan di bank asing serta kesinambungan rundingan.
Trump turut dilaporkan memberitahu Axios bahawa beliau mungkin membuat keputusan pada Ahad ini sama ada untuk meneruskan tindakan ketenteraan terhadap Iran, selepas berbincang dengan penasihatnya.
Beliau juga dijadualkan mengadakan pertemuan bersama utusan khasnya, Utusan Khas Amerika Syarikat (AS), Steve Witkoff dan penasihat Jared Kushner, bagi membincangkan respons terkini Iran. Naib Presiden AS, JD Vance turut dijangka hadir.
Dalam perkembangan berkaitan, Setiausaha Negara AS, Marco Rubio berkata rundingan dengan Iran telah menunjukkan kemajuan, namun menegaskan pendirian Washington bahawa Iran tidak boleh membangunkan senjata nuklear kekal tidak berubah.- REUTERS