Skuad sepak takraw negara terus buru kejuaraan

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 24 Mei – Kemenangan berganda Malaysia pada Kejohanan Piala Dunia Sepak Takraw 2026 bagi acara kuadran dan regu berkumpulan telah menyuntik semangat baharu dalam kalangan pemain untuk menghadapi saingan seterusnya.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kejayaan di Sukan SEA menjadi pendorong semangat pemain untuk terus berusaha.
  • Perlawanan menentang Thailand terganggu apabila mereka keluar gelanggang, pengadil mengesahkan kemenangan Malaysia.
  • Kapten Amirul tekad pertahankan kejuaraan di King Cup dan Sukan Asia, puji kekuatan pertahanan pasukan.

Pemain sepak takraw Malaysia, Amirul Zazwan Amir berkata kejayaan yang diraih pada Sukan SEA sebelum ini turut menjadi pendorong kepada skuad negara untuk terus mara pada kejohanan akan datang.

“Ini kerana kita sudah menang dua kali, iaitu di Sukan SEA dan Piala Dunia, yang menjadi sejarah buat pasukan sepak takraw negara. Saya juga merasakan pernah gagal pada tahun 2024, apabila tidak mencapai keputusan yang diharapkan.

“Namun hari ini saya berjaya menyumbang kemenangan kepada negara, Alhamdulillah dan syukur atas doa semua pihak. Untuk King Cup dan Sukan Asia, kami akan berusaha mempertahankan kejuaraan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas skuad sepak takraw Malaysia berjaya memenangi kejohanan Piala Dunia Sepak Takraw 2026 di Stadium Titiwangsa, di sini malam tadi bagi acara regu berkumpulan menentang Thailand.

Amirul Zazwan Amir, yang beraksi di posisi pengumpan dan juga selaku kapten regu ketiga skuad sepak takraw negara, menyifatkan perlawanan menentang Thailand sebagai sengit walaupun pihak lawan ‘mogok’ dengan meninggalkan gelanggang kerana tidak berpuas hati dengan keputusan pengadil.

Perlawanan kemudian terhenti kira-kira setengah jam sebelum barisan pengadil mengesahkan kemenangan berpihak kepada Malaysia susulan Thailand enggan meneruskan aksi, sekali gus keputusan 2-1 memihak kepada tuan rumah.

Beliau juga menganggap kejayaan Malaysia pada malam ini adalah hasil kekuatan pertahanan skuad negara dalam menepis rejaman yang dilakukan pasukan Thailand.

Malaysia telah berjaya menjuarai dua acara pada Piala Dunia Sepak Takraw 2026 edisi ini melalui acara Kuadran dan juga regu berkumpulan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.