“Syabas wira negara, teruskan melakar kecemerlangan demi Malaysia tercinta!” – PM

Skuad regu berpasukan negara menjulang Piala Dunia Sepak Takraw 2026 dengan menumpaskan Thailand 2-1 di Stadium Titiwangsa – Foto FB Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR, 24 Mei – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan rasa bangga dan penghargaan terhadap kejayaan cemerlang dilakar wira negara yang sekali lagi mengharumkan nama Malaysia di persada antarabangsa.

RINGKASAN BERITA AI
  • Perdana Menteri Anwar Ibrahim menzahirkan kebanggaan dan penghargaan atas kejayaan berganda skuad sepak takraw negara.
  • Pencapaian membuktikan semangat juang, disiplin dan kesatuan atlet mampu mengharumkan nama Malaysia di pentas dunia.
  • Malaysia dinobat juara regu selepas Thailand menarik diri dalam final, syabas kepada atlet, jurulatih dan barisan pengurusan.

Penghargaan itu susulan kejayaan berganda skuad sepak takraw negara pada Kejohanan Piala Dunia Sepak Takraw 2026.

Datuk Seri Anwar berkata, pencapaian tersebut bukan sahaja membanggakan arena sukan tanah air, malah menjadi bukti bahawa semangat juang tinggi, disiplin serta kesatuan dalam kalangan atlet mampu membawa Malaysia berdiri megah di pentas dunia.

“Kemenangan ini adalah hadiah bermakna buat seluruh rakyat Malaysia serta bukti bahawa anak watan memiliki keupayaan, ketahanan dan semangat luar biasa apabila membawa cabaran negara,” katanya dalam satu hantaran di laman Facebook rasminya hari ini.

Malaysia meraih kejayaan berganda Kejohanan Piala Dunia Sepak Takraw 2026 dalam acara kuadan dan regu berpasukan – Foto PSM

Beliau turut merakamkan ucapan tahniah kepada semua atlet, jurulatih serta barisan pengurusan pasukan yang bertungkus-lumus memastikan kejayaan tersebut menjadi kenyataan.

“Syabas wira negara, teruskan melakar kecemerlangan demi Malaysia tercinta,” katanya.

Selepas muncul juara acara kuadran sebelum ini, skuad sepak takraw Malaysia merangkul kejuaraan bagi acara regu berkumpulan kejohanan Piala Dunia Sepak Takraw 2026 di Stadium Titiwangsa, di sini malam tadi dengan menumpaskan musuh tradisi Thailand.

Malaysia muncul juara selepas dengan keputusan 2-1, susulan Thailand menarik diri dalam aksi final penuh kontroversi ketika perlawanan membabitkan regu ketiga.

Thailand muncul sebagai naib johan acara regu berpasukan selepas tumpas 1-2 kepada Malaysia pada aksi perlawanan akhir di Stadium Titiwangsa – Foto PSM

Pada aksi penentuan itu, regu negara berjaya memenangi set pertama 15-13.

Bagaimanapun, set berikutnya berlangsung dramatik apabila Thailand yang mendahului 14-13 diikat 14-14 selepas pengadil menghadiahkan mata kepada Malaysia susulan kesalahan pemain lawan.

Kem Thailand kemudian meninggalkan gelanggang kerana tidak berpuas hati, sebelum kemenangan 2-1 disahkan memihak kepada Malaysia.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.