Piala Dunia 2026: Pasukan Iran berkampung di Tijuana

Iran akan menjadikan Tijuana sebagai pangkalan pasukan sepanjang kempen Piala Dunia 2026 – Foto AFP

TIJUANA, 24 Mei – Skuad kebangsaan Iran akan menjadikan bandar sempadan Mexico, Tijuana sebagai pangkalan pasukan sepanjang kempen Piala Dunia 2026 selepas permohonan untuk memindahkan kem latihan dari Arizona diluluskan oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

RINGKASAN BERITA AI
  • Pengurusan berkata pengaturan latihan dijangka elak komplikasi visa dan memudahkan perjalanan terus menggunakan penerbangan Iran Air.
  • FIFA belum mengeluarkan kenyataan rasmi mengenai keputusan itu.
  • Pemain dan staf masih belum terima visa AS; FFIRI minta jaminan berkaitan visa, keselamatan dan layanan sepanjang kejohanan.

Presiden Persekutuan Bola Sepak Iran (FFIRI), Mehdi Taj berkata, perpindahan itu dijangka membantu mengelakkan komplikasi berkaitan visa selain memudahkan skuad Iran melakukan perjalanan terus ke Mexico menggunakan penerbangan Iran Air.

Perpindahan kem latihan itu dijangka membantu mengelakkan komplikasi berkaitan visa skuad Iran – Foto AFP

“Kami akan berpangkalan di kem Tijuana yang berhampiran Lautan Pasifik dan sempadan Mexico serta Amerika Syarikat,” katanya menerusi video yang dimuat naik di akaun Telegram rasmi FFIRI.

FIFA bagaimanapun belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung keputusan tersebut.

Iran dijadual membuka aksi Kumpulan G menentang New Zealand di Los Angeles pada 15 Jun sebelum berdepan Belgium pada 21 Jun ini.

Pasukan itu kemudian akan menamatkan saingan peringkat kumpulan menentang Mesir di Seattle pada 26 Jun.

Iran dijadual membuka aksi Kumpulan G menentang New Zealand di Los Angeles pada 15 Jun sebelum berdepan Belgium pada 21 Jun ini. – Foto AFP

Iran sebelum ini berdepan ketidaktentuan berkaitan urusan perjalanan dan keselamatan menjelang kejohanan yang dianjurkan bersama oleh Amerika Syarikat, Kanada dan Mexico.

Sementara itu pada awal bulan ini, pegawai Iran memaklumkan pemain dan staf pasukan masih belum menerima visa Amerika Syarikat meskipun kejohanan bakal membuka tirai tidak lama lagi.

Mehdi Taj berkata, pihaknya turut meminta jaminan daripada FIFA berkaitan urusan visa, keselamatan serta layanan terhadap delegasi Iran sepanjang kejohanan berlangsung.

Piala Dunia 2026 dijadual berlangsung dari 11 Jun hingga 19 Julai ini. – Reuters

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.