Ahmad Jais kesal Thailand enggan habiskan perlawanan

Pasukan Malaysia bersalaman dengan pasukan Thailand selepas tamat perlawanan akhir acara regu berpasukan Kejohanan Piala Dunia Sepak Takraw 2026 di Stadium Titiwangsa – RTM

KUALA LUMPUR, 24 Mei – Ketua jurulatih skuad sepak takraw negara Ahmad Jais Baharun berpandangan pasukan Thailand sepatutnya bersikap profesional dan meneruskan permainan sehingga tamat meskipun tidak bersetuju dengan keputusan pengadil dalam perlawanan akhir regu berpasukan Piala Dunia Sepak Takraw 2026.

RINGKASAN BERITA AI
  • Keputusan pengadil dianggap muktamad; kedua-dua pasukan sepatutnya meneruskan perlawanan hingga mata terakhir.
  • Kem Thailand memprotes keputusan pengadil dan enggan meneruskan baki perlawanan walaupun diberi masa untuk kembali.
  • Kontroversi tercetus apabila pemain Thailand dikesan melepasi garisan bawah jaring, lalu mata diberikan kepada Malaysia.
  • Walaupun dinobat juara, Ahmad Jais kecewa kemenangan tidak memuaskan namun memuji komitmen serta semangat juang pemain.

Menurutnya, keputusan pengadil adalah muktamad dan kedua-dua pasukan perlu meneruskan perlawanan hingga mata terakhir.

Ketua jurulatih skuad sepak takraw negara Ahmad Jais Baharun – RTM

“Kita kena akur bahawa keputusan pengadil adalah muktamad dan pasukan Thailand telah melakukan kesilapan.

“Pengadil telah memberikan masa untuk mereka kembali ke gelanggang namun mereka melakukan protes untuk tidak meneruskan perlawanan dan kita tidak boleh buat apa itu adalah keputusan mereka sendiri.

“Bagi saya mereka perlu bersikap profesional untuk meneruskan perlawanan pada baki beberapa mata lagi,” katanya kepada pemberita selepas perlawanan akhir itu.

Tangkap layar kesalahan pemain Thailand yang kakinya dikesan pengadil melepasi garisan bawah jaring.

Kontroversi tercetus ketika regu ketiga sedang berentap di set kedua dengan Thailand mendahului 14-13 sebelum pengadil menghadiahkan mata kepada Malaysia selepas mendapati pemain lawan melakukan kesalahan apabila kaki melepasi garisan bawah jaring.

Keputusan itu mencetus rasa tidak puas hati kem Thailand yang kemudian enggan meneruskan baki perlawanan walaupun diberikan masa untuk kembali ke gelanggang.

Ahmad Jais turut mengakui insiden berkenaan menyebabkan Malaysia tidak dapat menamatkan perlawanan dengan cara yang lebih memuaskan walaupun akhirnya dinobatkan sebagai juara.

“Sebenarnya peluang untuk perlawanan itu masih terbuka lagi dan saya rasa sekiranya insiden itu tidak berlaku, pasukan negara akan berdepan cabaran yang besar.

“Belum tentu kita boleh menjadi juara pada malam itu, namun apa yang pasukan Thailand lakukan itu merupakan satu kerugian kepada mereka,” katanya.

Walaupun kurang senang dengan cara kemenangan itu diperoleh, Ahmad Jais tetap memuji komitmen dan semangat juang dipamerkan anak buahnya sepanjang kejohanan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.