
GOMBAK, 23 Mei – Sebanyak 145 ekor lembu dan kambing diagihkan kepada komuniti, Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK), badan bukan kerajaan (NGO), kelab komuniti serta surau-surau di seluruh Parlimen Gombak bersempena dengan sambutan Aidiladha tahun ini.
- Sumbangan korban beri peluang lebih ramai melaksanakan ibadah korban, menyemarakkan semangat kebersamaan dan keprihatinan masyarakat.
- Datuk Seri Amirudin rakam penghargaan kepada anak-anak syarikat ICU JPM Selangor dan Pejabat Kerajaan Negeri atas kerjasama dan sokongan.
- Persatuan Anggun syukur; agihan diperluaskan, membantu meringankan beban asnaf serta memperkukuh ukhuwah dan solidariti masyarakat.
Menteri Besar Selangor yang juga Ahli Parlimen Gombak Datuk Seri Amirudin Shari berkata, sumbangan tersebut memberi peluang kepada lebih ramai masyarakat untuk melaksanakan ibadah korban, sekali gus menyemarakkan semangat kebersamaan dan keprihatinan dalam kalangan komuniti.
“Pada hari ini, sumbangan tambahan lembu dan kambing korban disalurkan kepada Parlimen Gombak melibatkan seluruh kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).
“Setiap DUN sememangnya menerima sumbangan daripada pihak tempatan dan saya ingin merakamkan penghargaan kepada anak-anak syarikat Pejabat Pembangunan Negeri Selangor (ICU JPM Selangor) serta Pejabat Kerajaan Negeri atas kerjasama dan sokongan yang diberikan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Penyerahan Lembu Korban peringkat Parlimen Gombak di sini.
Menurut Datuk Seri Amirudin ibadah korban bukan sekadar memenuhi tuntutan agama, malah menjadi lambang keikhlasan, pengorbanan dan kebersamaan dalam masyarakat.
Pengagihan daging korban kepada golongan memerlukan juga mampu menyemai nilai kasih sayang serta semangat berkongsi rezeki dalam kalangan masyarakat.
Sementara itu, Pengerusi Persatuan Anggun Malaysia, Norlaili Abdul Rashid menzahirkan rasa syukur atas sumbangan yang diterima, yang disifatkan dapat membantu meringankan beban golongan memerlukan bersempena dengan sambutan Aidiladha.
“Anggaran penerima adalah sekitar 50 hingga 60 orang, melibatkan golongan asnaf, manakala selebihnya untuk pasukan pelaksana.
“Setiap tahun jumlahnya lebih kurang sama, namun bagi tahun ini kita semak terlebih dahulu siapa yang sudah menerima dan belum menerima bantuan.
“Sebelum ini tumpuan diberikan kepada Gombak Setia, namun pada tahun ini agihan diperluaskan ke seluruh daerah Gombak,” katanya.
Program berkenaan diharap terus memperkukuh ukhuwah, semangat kebersamaan dan solidariti dalam kalangan masyarakat khususnya di Parlimen Gombak.