
JOHOR BAHRU, 24 April– Kerajaan menegaskan keperluan untuk memperketat peraturan kutipan dana kemanusiaan oleh Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) bagi membendung sebarang aktiviti penyelewengan.
- Laporan meningkat mengenai penyalahgunaan wang derma oleh beberapa NGO.
- Sesetengah NGO guna nama Islam untuk mengutip puluhan juta ringgit tetapi akhirnya menyalahgunakan dana.
- Dana khairat disalahgunakan, dan ada NGO mengambil potongan besar atas alasan kos operasi atau kepentingan peribadi.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata langkah itu perlu diambil susulan peningkatan laporan mengenai penyalahgunaan wang derma yang disumbangkan oleh orang awam.
“Terdapat banyak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menggunakan nama Islam untuk mengutip dana mencecah puluhan juta ringgit atas dasar membantu rakyat Palestin, namun akhirnya menyalahgunakan dana tersebut.”
“Malah, ada yang mengutip dana khairat tetapi menggunakannya untuk kepentingan serta kemudahan peribadi,” kata Datuk Seri Anwar.
Beliau berucap demikian semasa Program Ramah Mesra bersama Perdana Menteri di IPG Kampus Temenggong Ibrahim, di sini.
Tambahnya, terdapat NGO yang mengambil potongan besar hasil wang derma diterima, atas tujuan kos operasi.