Memorandum isu kembalikan gajah akan diserahkan kepada pihak pengurusan Zoo Taiping

NRES telah menerima memorandum bawa pulang tiga ekor gajah dari zoo di Jepun/Foto NRES

PUTRAJAYA, 24 April – Memorandum berkaitan isu pengembalian tiga ekor gajah bernama Dara, Amoi dan Kelat akan dipanjangkan kepada pihak pengurusan Zoo Taiping & Night Safari (ZTNS) untuk diteliti dan diperhalus.

RINGKASAN BERITA AI
  • NRES memaklumkan isu berada di bawah bidang kuasa Zoo Taiping dan sebahagian kerjasama rasmi dengan Tennoji Zoo Osaka.
  • NRES menerima memorandum daripada aktivis sosial Sekretariat Bahana Kesetiaan Negara.
  • Memorandum diterima oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Sumber Asli) Datuk Mas Rizal Mohd Hilmi dan pegawai NRES lain.
  • Media melaporkan aktivis serta NGO menggesa tindakan berhubung keadaan gajah yang dilaporkan mengalami penderitaan di luar negara.

Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES), dalam satu kenyataan memaklumkan, perkara tersebut berada di bawah bidang kuasa ZTNS dan sebahagian daripada kerjasama rasmi antara zoo berkenaan dengan Tennoji Zoo Osaka di Jepun.

”NRES telah menerima memorandum daripada aktivis sosial Sekretariat Bahana Kesetiaan Negara berkaitan isu ini.

”Memorandum itu akan dipanjangkan kepada Yang Dipertua Majlis Perbandaran Taiping, Mohamed Akmal Dahalan dan pihak pengurusan ZTNS memandangkan ia berada di bawah bidang kuasa ZTNS,” menurut kenyataan itu.

NRES memaklumkan, memorandum berkenaan telah diterima oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Sumber Asli) NRES, Datuk Mas Rizal Mohd Hilmi, Setiausaha Bahagian Kanan (Pengurusan), Mohd Azman Mohd Ariffin, Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN), Datuk Fakhrul Hatta Musa dan Setiausaha Bahagian Pengurusan Biodiversiti dan Perhutanan, S. Siva Kumar di bangunan NRES hari ini.

Media melaporkan sekumpulan aktivis dan badan bukan kerajaan menggesa kerajaan membawa pulang gajah milik negara, iaitu Dara, Amoi dan Kelat yang dihantar ke Tennoji Zoo Osaka ekoran didakwa mengalami penderitaan dan tidak sesuai dengan persekitaran di zoo berkenaan.-Bernama