SPRM beku beberapa akaun bank Padini, anak syarikat susulan siasatan

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR, 24 April – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membekukan beberapa akaun bank Padini Holdings Bhd (Padini) dan anak syarikatnya yang berkaitan dengan siasatan yang sedang dijalankan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Akaun dibekukan di bawah Seksyen 44(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pembiayaan Keganasan dan Hasil Aktiviti Haram 2001.
  • Akaun terjejas tidak digunakan untuk operasi harian kumpulan dan kumpulan mempunyai kemudahan perbankan lain untuk menyokong operasi berterusan.
  • Lembaga pengarah anggap pembekuan tidak akan memberi impak kewangan dan operasi yang material; syarikat sedang beri kerjasama penuh kepada pihak berkuasa.

Menurut peruncit pakaian itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, akaun tersebut telah dibekukan di bawah Seksyen 44(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Aktiviti Haram 2001.

“Syarikat ini sedang membantu dalam siasatan yang sedang dijalankan, dan akaun yang terjejas tidak digunakan secara aktif untuk operasi harian kumpulan itu,” kata Padini.

Kumpulan itu juga mempunyai akses kepada kemudahan perbankan lain bagi menyokong operasi harian perniagaannya yang berterusan.

“Berdasarkan maklumat yang ada pada masa ini, lembaga pengarah berpendapat bahawa pembekuan akaun-akaun tersebut dijangka tidak akan memberi impak kewangan dan operasi secara material kepada kumpulan itu,” katanya.

Menurut Padini, syarikat itu sedang mengambil langkah yang perlu untuk berhubung dengan pihak berkuasa berkaitan dan akan memberikan kerjasama penuh untuk membantu siasatan. – BERNAMA