
BANDARAYA MELAKA, 24 April – Ketua Setiausaha Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Datuk Dr M Noor Azman Taib dilantik sebagai Presiden Eastern Regional Organisation for Planning and Human Settlements (EAROPH).
- Tempoh pelantikan dua tahun bagi 2026 hingga 2028.
- Agenda utama ialah memuktamadkan Pelan Strategik EAROPH 2040.
- Dokumen itu menjadi panduan pelaksanaan inisiatif bandar mampan dan mengukuhkan EAROPH menghadapi cabaran urbanisasi Asia Pasifik.
- Kongres Dunia EAROPH Ke-30 berlangsung empat hari bermula 23 April dengan tujuh sesi dialog daripada 20 panelis antarabangsa.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof memaklumkan, pelantikan tersebut bagi tempoh dua tahun iaitu 2026 hingga 2028.
Beliau berkata, seiring dengan agenda utama sepanjang tempoh kepimpinan beliau adalah memuktamadkan Pelan Strategik EAROPH 2040.
Katanya, dokumen itu akan menjadi panduan kepada pelaksanaan inisiatif pembangunan bandar mampan serta mengukuhkan EAROPH dalam menghadapi cabaran urbanisasi masa hadapan di rantau Asia Pasifik.
“Saya percaya di bawah kepimpinannya, EAROPH akan terus memperkukuhkan perannya sebagai platform untuk bertukar pengetahuan, kerjasama serantau dan kemajuan yang mampan dan inklusif di seluruh Asia Pasifik.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Perasmian Kongres Dunia EAROPH Ke-30 di Bandaraya Melaka.
Hadir sama Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.
Kongres Dunia EAROPH ke-30 itu berlangsung selama empat hari bermula 23 April dengan tujuh sesi dialog daripada 20 panelis antarabangsa.