
KUALA LUMPUR, 24 April – Langkah kerajaan menyegerakan proses tindakan undang-undang bagi kes di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dilihat mampu membendung ketirisan dan penyelewengan barangan kawalan secara lebih berkesan.
- Pendaftaran dan pendengaran kes melalui saluran khas membolehkan kes diselesaikan lebih cepat dan dikendalikan oleh hakim khusus.
- Pendengaran pantas tidak menjejaskan kualiti kehakiman; mahkamah tetap memastikan perbicaraan adil dan peluang pembelaan diberikan.
- Mekanisme mahkamah khas sudah digunakan sebelum ini bagi kes trafik, rasuah dan imigresen.
- Kerajaan percepatkan proses siasatan hingga pelupusan; keutamaan diberikan kepada kes kartel dan sindiket minyak, LPG serta bekalan kawalan lain.
Pensyarah Kanan Fakulti Undang-Undang Universiti Teknologi MARA (UiTM), Mazlifah Mansoor berkata, tindakan itu membolehkan kes yang selesai disiasat terus didaftarkan dan didengar melalui saluran khas atau fast-track.
Menurutnya, pendekatan tersebut juga dapat mengurangkan tempoh menunggu selain membolehkan kes dikendalikan oleh hakim yang khusus.
“Apabila tindakan pantas diambil, ia menunjukkan keadilan tidak tertangguh dan memberi keyakinan kepada rakyat bahawa kerajaan tegas menangani penyelewengan serta ketirisan,” katanya ketika dihubungi RTM.
Beliau menambah, mekanisme mahkamah khas bukan perkara baharu kerana sebelum ini turut dilaksanakan bagi kes trafik, rasuah dan imigresen.
Bagaimanapun, Mazlifah menegaskan proses pendengaran pantas tidak menjejaskan kualiti kehakiman kerana mahkamah tetap memastikan setiap kes dibicarakan secara adil serta memberi ruang kepada tertuduh untuk membela diri.
“Saya berharap langkah ini mendapat sokongan Jabatan Peguam Negara dan pihak kehakiman supaya kes dapat diselesaikan dengan lebih cepat,” katanya.
Pada 6 April lalu, kerajaan memutuskan untuk menyegerakan keseluruhan proses tindakan undang-undang melibatkan kesalahan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.
Keputusan itu dibuat dalam Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Penyelarasan Antara Agensi Penguatkuasaan (JTPAP).
Antara proses yang dipercepatkan meliputi siasatan, penyediaan kertas siasatan, pendakwaan, pendengaran sehingga pelupusan kes di mahkamah.
Keutamaan diberikan kepada kes kartel dan sindiket melibatkan diesel, petrol, gas petroleum cecair (LPG) serta bekalan kawalan lain.