Piala Uber: Malaysia waspada cabaran Turkiye pada aksi pembukaan

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 24 April– Skuad badminton wanita negara mengintai permulaan sempurna namun kekal berwaspada terhadap ancaman Turkiye dalam aksi pembukaan Kumpulan B Piala Uber di Horsens, Denmark, esok.

RINGKASAN BERITA AI
  • Malaysia diletakkan sebagai pasukan pilihan, diketuai M. Thinaah; tidak boleh mengambil mudah lawan.
  • Neslihan Arin ancaman perseorangan utama, kedudukan dunia ke-30 dan pemenang gangsa Kejohanan Eropah.
  • Pengarah kejurulatihan Kenneth Jonassen sahkan pemain berada dalam tahap terbaik dan bersedia memulakan kempen.
  • Kemenangan awal penting untuk momentum sebelum bertemu Afrika Selatan dan Jepun; skuad bertekad melakar sejarah melepasi suku akhir 2010.

Malaysia yang diletakkan sebagai pasukan pilihan dengan diketuai M. Thinaah tidak boleh mengambil mudah cabaran lawan yang hadir dengan kekuatan tersendiri, khususnya menerusi perseorangan utama Neslihan Arin serta gandingan beregu Bengisu Ercetin-Nazlican Inci.

Arin yang menghuni ranking ke-30 dunia bukan lawan biasa, apatah lagi dengan reputasi sebagai pemenang pingat gangsa Kejohanan Eropah, selain berada di kedudukan lebih tinggi berbanding wakil negara, K. Letshanaa.

Pengarah Kejurulatihan Perseorangan negara, Kenneth Jonassen menegaskan barisan pemain sudah bersedia sepenuhnya untuk membuka kempen dengan langkah kanan.

“Semua pemain berada dalam tahap terbaik dan kem latihan berjalan lancar selepas penilaian rapi dilakukan. Kini, fokus sepenuhnya diberikan untuk memulakan perlawanan pertama dengan keyakinan yang tinggi,” katanya.

Kemenangan ke atas Turkiye dianggap wajib bagi menjamin momentum awal sebelum Malaysia berdepan cabaran Afrika Selatan dan gergasi Asia, Jepun, dalam misi memburu slot ke suku akhir.

Rekod sejarah menyaksikan pencapaian terbaik negara dalam saingan Piala Uber adalah mara ke pusingan suku akhir pada edisi 2010.

Justeru, skuad wanita kali ini tekad untuk melakar sejarah baharu dengan melangkah lebih jauh.