
BUKIT MERTAJAM, 24 April– Program tayangan wayang pacak antara pendekatan berkesan bagi mendekatkan filem tempatan dengan masyarakat dalam suasana santai dan terbuka.
- Kementerian Komunikasi melalui FINAS membawa tayangan filem tempatan kepada komuniti luar panggung.
- Program dilaksanakan dengan kerjasama FINAS, Jabatan Komunikasi Komuniti dan Jabatan Penerangan.
- Konsep wayang pacak sesuai diperluas ke lebih banyak lokasi di seluruh negara.
- Program diserikan dengan kehadiran Qi Razali dan Cristina Suzanne serta diselitkan Kempen Internet Selamat dan cabutan bertuah.
Inisiatif Kementerian Komunikasi menerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) itu memberi peluang kepada komuniti setempat menikmati karya tempatan di luar panggung wayang.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, program tersebut dilaksanakan dengan kerjasama FINAS, Jabatan Komunikasi Komuniti (JKOM) dan Jabatan Penerangan.
Menurut beliau, konsep wayang pacak itu sesuai diperluas ke lebih banyak lokasi di seluruh negara.
“Filem Babah merupakan antara karya yang memenangi pelbagai anugerah sebelum ini.
Saya berharap program seperti ini memberi peluang kepada masyarakat termasuk golongan muda menikmati pengalaman menonton dalam suasana santai dan selesa,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada program berkenaan.
Program tersebut turut diserikan dengan kehadiran pelakon utama, Qi Razali dan Cristina Suzanne Stockstill.
Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Abdul Halim Hamzah.
Selain tayangan filem, program itu turut diselitkan dengan Kempen Internet Selamat serta cabutan bertuah.