
JOHOR BAHRU, 23 April – Satu kegiatan penyelewengan diesel bersubsidi menggunakan fleet card berjaya dipatahkan dalam satu serbuan di sebuah premis dipercayai stor haram di Taman Mount Austin, di sini awal pagi tadi.
- Operasi jam 2.30 pagi hasil risikan seminggu oleh KPDN dengan kerjasama Jabatan Kastam Diraja Malaysia.
- Tiga suspek ditahan termasuk dua warga Indonesia bagi membantu siasatan.
- Rampasan lebih RM265,986 termasuk 11,500L diesel, lapan fleet card, tangki IBC dan peralatan; kes disiasat bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Datuk Armizan Mohd Ali berkata operasi kira-kira jam 2.30 pagi itu, dijalankan hasil risikan selama seminggu oleh KPDN dengan kerjasama Jabatan Kastam Diraja Malaysia.
Beliau berkata sindiket berkenaan dikesan menggunakan beberapa fleet card untuk mengumpulkan diesel bersubsidi, sebelum dipindahkan ke sebuah premis pusat pengumpulan haram.
“Tangkapan baru tadi di kawasan Austin melibatkan penyalahgunaan fleet card. Mereka mengumpulkan bahan api menggunakan fleet card sebelum dipindahkan ke satu pusat pengumpulan haram. Tindakan kita ini bertujuan memastikan kelangsungan dan keterjaminan bekalan untuk rakyat di negara ini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau sebuah stesen minyak sempena lawatan kerja rasmi di Taman Mount Austin, di sini hari ini.
Dalam serbuan itu, tiga lelaki termasuk dua warga Indonesia berusia antara 30 hingga 40-an ditahan bagi membantu siasatan.
Pemeriksaan lanjut turut mendapati premis berkenaan beroperasi tanpa lesen sah di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.
Dalam operasi sama, pihak berkuasa merampas kira-kira 11,500 liter diesel dianggarkan bernilai RM58,880 serta tambahan 1,200 liter diesel bernilai RM6,144 yang disimpan dalam tangki jenis Intermediate Bulk Container (IBC).
Pelbagai peralatan turut disita termasuk lapan keping fleet card, tangki IBC, pam minyak, hos, sebuah tangki treler, kenderaan pacuan empat roda serta empat unit tangki IBC yang mengandungi diesel.
Jumlah keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai lebih RM265,986.48 dan kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.- BERNAMA