Kutipan cukai HASiL tertinggi dalam sejarah, kali pertama lepasi RM200 bilion

Pencapaian pada 2025 meningkat 10.38 peratus berbanding tahun sebelumnya

CYBERJAYA, 24 April – Kutipan cukai langsung Lembaga Hasil Dalam Negeri (HASiL) buat kali pertama melepasi RM200 bilion apabila merekodkan RM203.991 bilion pada tahun 2025.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kerajaan memperuntukkan tambahan RM11.4 bilion bayaran balik cukai syarikat, menyelesaikan komitmen lampau secara tersusun dan telus.
  • Kerajaan akan memperkukuh pengurusan hasil dengan integriti dan ketelusan bagi menghadapi ketidaktentuan ekonomi global dan gangguan rantaian bekalan.
  • LHDN digesa guna analitik dan kecerdasan buatan untuk tingkatkan kecekapan kutipan, kurangkan ketirisan dan memudahkan pematuhan pembayar cukai.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pencapaian itu menyaksikan peningkatan sebanyak RM19.19 bilion atau 10.38 peratus berbanding tahun sebelumnya.

“Hasil daripada prestasi kutipan yang lebih kukuh, kerajaan dapat memperuntukkan tambahan dana bayaran balik cukai sebanyak RM11.4 bilion kepada pembayar cukai syarikat yang telah tertunggak, sekali gus menyelesaikan komitmen lampau secara lebih tersusun dan telus,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam teks ucapan Sambutan Ulang Tahun Ke-30 Lembaga Hasil Dalam Negeri di Menara Hasil yang dibacakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.

Dalam ucapannya, Perdana Menteri turut memberi jaminan bahawa kerajaan akan memastikan pengurusan hasil negara terus diperkukuh secara berintegriti dan telus dalam menghadapi ketidaktentuan ekonomi global.

Menurut beliau, konflik yang berterusan di Asia Barat memberi kesan langsung kepada ekonomi global termasuk peningkatan kos logistik, tekanan harga serta gangguan rantaian bekalan, sekali gus menuntut pengurusan hasil dan perbelanjaan negara yang lebih cekap dan berhemah.

“Dalam keadaan dunia yang tidak menentu, setiap ringgit mesti dibelanjakan dengan penuh tanggungjawab, ketirisan perlu ditutup dan usaha memperluas asas hasil serta meningkatkan pematuhan cukai mesti dipergiat,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menegaskan percukaian bukan sekadar kewajipan undang-undang, tetapi amanah bersama dalam memastikan kesejahteraan rakyat melalui pembiayaan sektor penting seperti pendidikan, kesihatan dan perlindungan sosial.

Seiring dengan perkembangan teknologi, Perdana Menteri turut menggesa HASiL memperkukuh keupayaan analitik serta penggunaan kecerdasan buatan (AI) bagi meningkatkan kecekapan kutipan, mengurangkan ketirisan dan memudahkan pematuhan pembayar cukai.

Pada masa sama, sektor swasta disaran lebih proaktif dengan meningkatkan produktiviti, melabur dalam inovasi dan automasi serta mempertimbang pelaksanaan aturan kerja fleksibel termasuk bekerja dari rumah bagi mengurangkan kos operasi.

Sambutan ulang tahun ke-30 HASiL menjadi platform menghargai sumbangan warga agensi berkenaan, di samping memperkukuh komitmen dalam memastikan sistem percukaian negara kekal adil, cekap dan diyakini rakyat.