Kerajaan peruntuk RM42.3 juta perkasa pembangunan syiar Islam

Foto BERNAMA

SENDAYAN, 15 Mei – Kerajaan Persekutuan memperuntukkan RM42.3 juta di bawah peruntukan Pembangunan Syiar Islam bagi memperkukuh institusi keagamaan serta kebajikan petugas agama di seluruh negara.

RINGKASAN BERITA AI
  • 7,091 guru KAFA, imam masjid kariah, guru takmir dan petugas masjid menerima manfaat daripada inisiatif ini.
  • Inisiatif dilaksanakan melalui agensi di bawah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).
  • Kerajaan menaikkan kadar elaun bagi guru KAFA, imam masjid kariah, guru takmir dan petugas masjid sebagai penghargaan.
  • Kerajaan komited memperkukuh pembangunan syiar Islam selari usaha memperkasa kesejahteraan rakyat dan pembangunan negara mampan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, seramai 7,091 guru Kelas Al-Quran dan Fardhu Ain (KAFA), imam masjid kariah, guru takmir dan petugas masjid menerima manfaat daripada inisiatif ini.

“Kita ambil kesempatan ini juga, seperti sudah tahu di bawah JAKIM, kita telah naikkan elaun guru KAFA, imam masjid kariah, guru takmir dan petugas masjid dengan keseluruhan implikasi kewangan RM42.3 juta,” katanya ketika berucap merasmikan Sambutan Hari Belia Negara 2026 di sini, hari ini.

Jelas beliau, inisiatif tersebut dilaksanakan menerusi agensi di bawah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sebagai usaha berterusan kerajaan memperkasa syiar Islam di samping menjaga kebajikan golongan berkenaan.

“Sokongan turut merangkumi institusi pendidikan Islam seperti pondok, maahad tahfiz, sekolah agama serta premis KAFA yang beroperasi di luar seliaan Kementerian Pendidikan (KPM), dengan peruntukan sebanyak RM5.4 juta bagi tujuan penyelenggaraan dan pengukuhan institusi,” tambahnya.

Beliau menegaskan, kerajaan komited untuk terus memperkukuh agenda pembangunan syiar Islam secara menyeluruh selari dengan usaha memperkasa kesejahteraan rakyat serta pembangunan negara yang mampan.