Tiada projek dihentikan, JKR kekal ikut perancangan

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan / foto BERNAMA

HULU SELANGOR, 15 Mei – Sebarang projek projek pembangunan yang telah dirancang tidak akan dihentikan meskipun berdepan cabaran susulan krisis ekonomi global.

RINGKASAN BERITA AI
  • Keputusan berkaitan pelaksanaan projek dipersetujui dalam Mesyuarat Pasca Kabinet.
  • Penjimatan RM10 bilion adalah daripada perbelanjaan operasi, bukan perbelanjaan pembangunan.
  • Pemotongan hanya melibatkan OE melalui kaedah tertentu dan tiada pemotongan gaji.
  • Projek UMW HVMP bernilai RM78.8 juta siap sebelum krisis, menjimatkan RM18 juta serta memperkukuh infrastruktur dan keselamatan jalan.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Dr Ahmad Maslan berkata, keputusan itu dipersetujui dalam Mesyuarat Pasca Kabinet pada Rabu lalu.

“JKR tidak akan memberhentikan sebarang projek yang telah dirancang dan akan dilaksanakan mengikut perancangan. Penjimatan RM10 bilion itu adalah daripada perbelanjaan operasi (OE) , bukan perbelanjaan pembangunan (DE). Apa yang dilaksanakan oleh Jabatan Kerja Raya adalah kos yang melibatkan pembangunan.

“Oleh itu tiada pemotongan dalam kos DE. Pemotongan hanya melibatkan OE melalui kaedah tertentu, tanpa pemotongan gaji,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada Majlis Penyerahan Projek Pembinaan Jalan Baharu dari Jalan Persekutuan FT3208 ke Jalan 132 Kaki di Kawasan UMW High Value Manufacturing Park (UMW HVMP), Serendah.

Mengulas lanjut, Datuk Seri Dr Ahmad berkata, projek UMW High Value Manufacturing Park bernilai RM78.8 juta itu telah siap dilaksanakan sebelum krisis ekonomi global, sekali gus tidak memberi implikasi kewangan tambahan kepada kerajaan.

Malah, projek berkenaan turut menjimatkan kos sebanyak RM18 juta sepanjang tempoh pelaksanaan selama tiga tahun.

Pembinaan jalan baharu itu dilaksanakan bagi memperkukuh rangkaian infrastruktur jalan raya, meningkatkan keselamatan pengguna serta menyokong pembangunan pesat kawasan industri di Hulu Selangor.

Majlis penyerahan turut dihadiri pegawai kanan kerajaan, mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam memastikan pembangunan infrastruktur berkualiti, selamat dan mampan demi kesejahteraan rakyat.