
KUALA LUMPUR, 15 Mei – Industri pelancongan perlu seimbang antara teknologi dan sentuhan manusia meskipun landskap pelancongan global kini terarah kepada perkembangan teknologi digital dan kecerdasan buatan (AI).
- Industri pelancongan perlu seimbang antara kemajuan digital dan sentuhan kemanusiaan untuk kekalkan kualiti pengalaman.
- Teknologi meningkatkan kecekapan dan kebolehcapaian tetapi tidak menggantikan keaslian, empati dan hubungan emosi pemandu pelancong.
- Sambutan Ulang Tahun MWTGA menyatukan pemegang taruh, menyokong VMY2026 dan pelancongan bertanggungjawab berteraskan teknologi.
Timbalan Ketua Setiausaha (Pelancongan), Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Chua Choon Hwa berkata, peranan pemandu pelancong terus kekal penting dalam industri pelancongan masa kini.
Katanya, walaupun sektor pelancongan terus menerima inovasi dan transformasi digital, aspek kemanusiaan tetap menjadi teras utama industri ini.

”Teknologi akan meningkatkan kecekapan dan kebolehcapaian,tetapi ia tidak boleh gantikan keaslian, empati, hubungan emosi yang akan disampaikan oleh profesional pelancongan yang bersemangat,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas majlis sambutan Ulang Tahun Persatuan Pemandu Pelancong Wanita Malaysia (MWTGA) Ke-20 di Kuala Lumpur.
Sambutan selama tiga hari itu bermula hari ini hingga Ahad, menghimpunkan para profesional pelancongan, agensi kerajaan, institusi pendidikan, penyedia teknologi, pemain industri, pelajar pelancongan dan orang awam.
Program ini sejajar dengan penganjuran Tahun Melawat Malaysia 2026 (VMY2026) serta hala tuju global ke arah pelancongan yang bertanggungjawab dan dipacu teknologi.