
SEPANG, 15 Mei – Sebanyak 54 kapal Global Sumud Flotilla (GSF) kini berada di zon kuning kedua, kira-kira 340 batu nautika dari pantai Gaza, sekali gus memasuki kawasan berisiko tinggi menjelang fasa akhir misi kemanusiaan itu.
- Pemintasan rejim Zionis mungkin berlaku pada waktu malam untuk menyekat koridor kemanusiaan maritim di bawah klausa UNCLOS.
- Tindakan itu boleh dijadikan bukti salah laku untuk dibawa ke muka pengadilan antarabangsa melalui rangkaian peguam antarabangsa.
- SNCC lancarkan Sumud Protocol fasa pertama untuk memperkukuh sokongan dan mendapat sokongan sekurang-kurangnya 150 Ahli Parlimen merentas parti.
- SNCC dan CENTHRA, disokong Kerajaan Malaysia, akan memfailkan tuntutan kepada ICC atas dakwaan pencabulan undang-undang antarabangsa oleh rejim Zionis.
Ketua Pengarah Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC), Datuk Dr Sani Araby Abdul Alim Araby memaklumkan, flotila berkenaan dijangka memasuki zon lebih berisiko dalam tempoh beberapa jam akan datang, dengan potensi berlaku pemintasan oleh tentera rejim Israel pada waktu malam.
“Pemintasan yang mungkin akan dilakukan oleh pihak rejim Zionis adalah bertujuan menyekat keabsahan koridor kemanusiaan maritim yang selama ini sah bawah klausa UNCLOS (Konvensyen Pertubuhan Bangsa Bersatu mengenai Undang-Undang Laut), yang membenarkan apa jua bantuan kemanusiaan disalurkan ke tempat yang bergolak, tanpa sekatan,” katanya dalam sidang media di Pusat Kawalan SNCC di sini, hari ini.
Menurut beliau, tindakan itu juga boleh menjadi bukti salah laku rejim Zionis untuk dibawa ke muka pengadilan antarabangsa menerusi rangkaian peguam antarabangsa.
Sementara itu, SNCC melancarkan “Sumud Protocol” sebagai pelan tindakan fasa pertama bagi memperkukuh sokongan terhadap misi flotila ke Gaza.
Antara usaha digerakkan ialah mendapatkan sokongan sekurang-kurangnya 150 Ahli Parlimen Malaysia merentas parti menerusi Kaukus Palestin Parlimen Malaysia.
SNCC turut mengabsahkan Deklarasi Brussels bersama ahli parlimen dari Malaysia, Turkiye, Sepanyol dan Kesatuan Eropah (EU) bagi meningkatkan tekanan diplomatik serta ekonomi terhadap rejim Zionis.
Selain itu, siaran langsung selama 100 jam menerusi platform rasmi Sumud Nusantara akan dilaksanakan bagi memperluas kesedaran awam dan menyalurkan perkembangan semasa misi flotilla kepada masyarakat antarabangsa.
Pada masa sama, SNCC melalui Pusat Penyelidikan dan Advokasi Hak Asasi Manusia (CENTHRA) dengan sokongan Kerajaan Malaysia akan menggerakkan usaha memfailkan tuntutan kepada Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) susulan dakwaan pencabulan undang-undang antarabangsa oleh rejim Zionis.