
KUALA LUMPUR, 15 Mei – Selangor FC perlu menjadikan perlawanan akhir Kejuaraan Kelab ASEAN (ACC) 2026 menentang Buriram United pada 20 Mei ini sebagai fokus utama pasukan berbanding perebutan tempat kedua Liga Super musim ini.
- Kesempatan terbaik untuk Selangor menjulang piala selepas sekian lama tidak beraksi di pentas akhir.
- Momentum pasukan meningkat di bawah Kim Pan-gon, menjadikan ini peluang 'do or die' yang perlu dimanfaatkan.
- Pemain perlu bersedia sepenuhnya dan manfaatkan kelebihan bermain di laman sendiri untuk membawa bekalan gol sebelum aksi timbal balik.
Bekas penyerang Selangor FC, Safee Sali berpendapat, kejohanan itu penting selepas sekian lama skuad Merah Kuning tidak beraksi di pentas akhir.

“Selepas beberapa tahun Selangor tidak memenangi apa-apa dalam kejohanan, saya rasa ini adalah peluang yang sangat baik. Peluang ini perlu diambil dan difokuskan terlebih dahulu.
“Momentum pasukan Selangor juga berada dalam keadaan baik selepas kemasukan jurulatih Kim Pan-gon. Bagi saya ini adalah peluang ‘do or die’ untuk pasukan Selangor,” katanya.
Beliau berkata, kemenangan ini bukan sahaja untuk pasukan, malah penting buat penyokong-penyokong Selangor FC yang telah sekian lama menanti julangan piala oleh kelab mereka.
Selangor FC kali terakhir beraksi di perlawanan akhir kejohanan itu adalah pada 1967 dan hanya mencapai kedudukan naib johan pada waktu itu.
Safee turut yakin Gergasi Merah mampu menjulang Kejuaraan ACC 2026 berdasarkan prestasi keseluruhan pasukan itu yang kian stabil dan dinamik.

Bagaimanapun beliau mengingatkan pemain agar bersedia kerana aksi final kejohanan serantau itu memerlukan tahap kesiapsiagaan terbaik terutama berdepan Buriram United yang bukan calang-calang pasukan.
Perlawanan akhir pertama Kejuaraan ACC 2026 akan berlangsung di Stadium MBPJ pada 20 Mei ini.
Kelebihan bermain di laman sendiri itu perlu dimanfaatkan Selangor FC dalam membawa bekalan gol sebelum bertandang di tempat lawan untuk perlawanan akhir kedua.