
NEGERI SEMBILAN, 15 Mei – Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM5.4 juta bagi melaksanakan kerja-kerja penyelenggaraan dan pengukuhan Institusi Pendidikan Islam di seluruh negara yang beroperasi di luar seliaan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), termasuk pondok, maahad tahfiz, sekolah agama serta premis Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA).
- Memastikan institusi pendidikan Islam lebih selesa, selamat dan kondusif untuk pembelajaran serta pembentukan sahsiah pelajar.
- Sebahagian maahad tahfiz dan sekolah agama berada dalam keadaan daif dan memerlukan perhatian segera kerajaan.
- Kerja baik pulih serta pembaikan kecil akan dilaksanakan di bawah Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, inisiatif berkenaan bertujuan memastikan institusi terbabit berada dalam keadaan lebih selesa, selamat dan kondusif untuk proses pembelajaran serta pembangunan sahsiah pelajar.
“Masih terdapat sebahagian Institusi Pendidikan Islam, khususnya maahad tahfiz dan sekolah agama, yang berada dalam keadaan daif dan memerlukan perhatian segera daripada kerajaan bagi tujuan baik pulih.
“Di luar daripada Kementerian Pendidikan, kita peruntukkan RM5.4 juta untuk tujuan penyelenggaraan dan pengukuhan institusi. Ada kalanya sekolah-sekolah maahad tahfiz ini daif sangat.
“Baik pulih serta kerja pembaikan kecil akan dilaksanakan di bawah Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Hari Belia Kebangsaan 2026 di sini hari ini.