Ekonomi Malaysia berkembang 5.4 peratus

Imbangan perdagangan menunjukkan peningkatan ketara/Foto RTM

KUALA LUMPUR, 15 Mei – Momentum ekonomi Malaysia terus berkembang sebanyak 5.4 peratus, pada suku pertama 2026.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pertumbuhan didorong oleh perbelanjaan isi rumah, pelaburan dan eksport berterusan, disokong sektor E&E serta perkhidmatan perjalanan dan teknologi maklumat.
  • Penyaluran bantuan tunai dan pelaksanaan fasa kedua SSPA meningkatkan pendapatan boleh guna dan kapasiti perbelanjaan isi rumah.
  • Imbangan perdagangan mengukuh, eksport lebih kukuh berbanding import walaupun berdepan ketidaktentuan global; inflasi stabil dan pasaran buruh menggalakkan.

Kadar itu, melebihi anggaran awal Keluaran Dalam Negara Kasar, (KDNK) pada 5.3 peratus.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Sri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, kadar pertumbuhan itu, bagaimanapun menyederhana daripada 6.3 peratus pada suku keempat 2025.

”Peningkatan itu didorong perbelanjaan isi rumah, aktiviti pelaburan serta pertumbuhan eksport berterusan disokong sektor elektrik dan elektronik (E&E).

“Malah, perkhidmatan berkaitan perjalanan serta teknologi maklumat dan komunikasi turut menjadi pendorong,”katanya dalam sidang media prestasi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Suku Pertama 2026.

Beliau juga menyatakan, penyaluran program bantuan tunai termasuk Sumbangan Tunai Rahmah (STR), Sumbangan Asas Rahmah (SARA), Bantuan Awal Persekolahan (BAP),Bantuan Khas Kewangan (BKK) dan pelaksanaan fasa kedua Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) telah meningkatkan pendapatan boleh guna isi rumah dan menambah baik kapasiti perbelanjaan.

Perbelanjaan berkaitan musim perayaan, antaranya Tahun Baharu Cina dan Hari Raya Aidilfitri telah merangsang aktiviti penggunaan.

Sekali gus, memanfaatkan sektor Perkhidmatan, terutamanya perdagangan runcit, makanan dan minuman serta penginapan.

”Sementara itu, intervensi termasuk mekanisme subsidi bahan api BUDI95 terus membantu mengurangkan tekanan kos yang dihadapi isi rumah dan perniagaan.

”Perkembangan disokong oleh inflasi yang stabil, keadaan pasaran buruh yang menggalakkan serta tahap pendapatan mampan, yang secara keseluruhannya memperkukuh momentum perbelanjaan pengguna,” tambahnya.

Dari sudut luaran pula, imbangan perdagangan menunjukkan peningkatan ketara, dipacu pertumbuhan eksport lebih kukuh berbanding import, walaupun berdepan ketidaktentuan global.