150 pelajar cemerlang SPM Padang Terap diraikan dengan lawatan ke Jepun, Indonesia

FOTO RTM

PADANG TERAP, 24 April -Seramai 150 pelajar luar bandar di daerah Padang Terap yang mencatatkan keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 menerima ‘durian runtuh’ apabila terpilih menyertai lawatan pendidikan ke Jepun dan Indonesia.

RINGKASAN BERITA AI
  • Anak Muda MADANI Kedah menaja sepenuhnya lawatan pendidikan sebagai penghargaan dan pemangkin semangat kepada pelajar cemerlang.
  • Pelajar terpilih datang dari sembilan sekolah daerah, termasuk dua sekolah angkat di bawah naungan NGO tersebut.
  • Pengerusi Datuk Zuraidi Rahim menekankan lawatan ini sebagai platform transformasi dan galakan meneruskan pengajian.
  • Pelajar melahirkan rasa syukur; pengalaman diiktiraf sebagai ganjaran berharga serta motivasi meneruskan pengajian.

Ganjaran tersebut, yang ditaja sepenuhnya oleh badan bukan kerajaan (NGO) Anak Muda MADANI Kedah, bertujuan menghargai pencapaian cemerlang pelajar terbabit selain menjadi pemangkin semangat untuk mereka meneruskan pengajian ke peringkat lebih tinggi.

Pengerusi Anak Muda MADANI Kedah, Datuk Zuraidi Rahim berkata, kesemua pelajar berkenaan terpilih daripada sembilan buah sekolah di seluruh daerah Padang Terap, termasuk dua sekolah yang merupakan sekolah angkat di bawah naungan NGO tersebut.

Jelas beliau, seramai 120 pelajar dijadualkan menyertai lawatan ke Jakarta, Indonesia selama tiga hari bermula 1 hingga 3 Jun ini, manakala baki 30 pelajar terbaik dari sekolah angkat pula akan dibawa ke Jepun pada pertengahan Jun.

“Ini antara satu intipati yang saya cuba garapkan sebagai seorang yang ingin melihat dalam dunia pendidikan ini akan ada satu perubahan dan transformasi yang baik dengan memberi kekuatan dan juga semangat kepada anak-anak ini supaya terus berjaya.

“Ia adalah platform yang paling penting bagi anak-anak dalam konteks SPM yang telah melakar satu sejarah dalam hidup mereka apabila dapat keputusan strait A,” katanya ketika ditemui di Dewan Masjid Al Istiqlal, Kuala Nerang, di sini hari ini.

Sepanjang di Indonesia, para pelajar akan dibawa melawat pejabat Kedutaan Malaysia serta meninjau Universiti Padjadjaran, Bandung yang mempunyai kepakaran dalam bidang perubatan, selain menghadiri majlis makan malam bersama Menteri Hukum dan Menteri Dalam Negeri Indonesia.

Sementara itu, rata-rata pelajar yang ditemui menzahirkan rasa syukur dan tidak menyangka pengorbanan mereka menuntut ilmu dibalas dengan ganjaran yang begitu berharga.

Bagi pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Datuk Syed Ahmad, Nur Asyifa Fatihah Zulkifli, beliau mengakui sangat teruja dengan tawaran tersebut yang disifatkan sebagai pengalaman pertama kali buatnya.

“Saya rasa sangat teruja dan agak terkejut pada mulanya sebab seperti yang dikatakan, tidak pernah lagi ada tawaran seperti ini untuk pergi ke luar negara, jadi saya sangat teruja,” katanya.

Nada yang sama dikongsi pelajar Maktab Mahmud Padang Terap, Nur Adawiyah Mohd Shukri yang menganggap ganjaran itu sebagai ubat kepada segala penat lelah sepanjang persediaan peperiksaan.

“Perasaan saya rasa macam penat usaha lelah kami belajar itu terbalas dengan adanya ganjaran ini. Kami pun lebih bersemangat nak meneruskan pengajian selepas ini sebab ada pihak yang membantu seperti Datuk Zuraidi,” ujarnya.

Seorang lagi pelajar maktab tersebut, Anis Soleha Zaidi berkata, dia dan rakan-rakannya berasa amat terharu apabila menerima tajaan tersebut yang dianggap sebagai memori paling berharga sepanjang bergelar pelajar di sekolah berkenaan.