Model PKAADK pacu pemulihan tanpa stigma

Foto RTM

KUALA KUBU BHARU, 24 April – Pendekatan sukarelawan terus diperkasa Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Selangor sebagai strategi utama memperluas akses rawatan dan pemulihan dalam komuniti tanpa stigma.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pemulihan sukarela meningkatkan motivasi dalaman dan kebarangkalian pulih secara menyeluruh tanpa tekanan paksaan.
  • PKAADK perkenalkan pusat residensi mesra komuniti; kini jalankan program psikososial dan intervensi kepada klien sukarela.
  • Kesedaran diri, sokongan keluarga, penerimaan, disiplin dan komitmen berterusan jadi kunci utama proses pemulihan.
  • Rangkaian 31 PKAADK sokong rawatan komuniti; AADK menyeru individu tampil sukarela untuk rawatan awal dan pemulihan holistik.

Konsep pemulihan secara sukarela dilihat pemangkin utama kejayaan apabila individu tampil atas kesedaran sendiri, sekali gus meningkatkan motivasi dalaman dan kebarangkalian untuk pulih secara menyeluruh.

Pegawai Pemulihan AADK Selangor, Ahmad Faizal Awang berkata Program Hari Terbuka Pusat Khidmat AADK (PKAADK) menjadi platform memperkenalkan fasiliti pemulihan sebagai rumah singgah berteraskan pendekatan sukarela dan mesra komuniti.

“Pusat ini akan beroperasi secara residensi bermula Jun depan, namun ketika ini kita sudah melaksanakan program psikososial dan intervensi kepada klien yang tampil mendapatkan bantuan secara sukarela,” katanya ketika ditemui pada Hari Terbuka Pusat Khidmat AADK Hulu Selangor di sini.

Menurutnya, inisiatif diri klien untuk tampil mendapatkan rawatan merupakan faktor paling signifikan dalam menentukan kejayaan pemulihan berbanding pendekatan paksaan atau perintah.

“Jika dilihat dalam konteks lebih luas, pendekatan pemulihan sukarela membuka ruang kepada gelombang kesedaran dalam kalangan individu berdepan penagihan untuk berani memulakan langkah pertama, sekali gus meningkatkan peluang kepulihan.

“Ada klien yang mengikuti rawatan dalam komuniti sehingga berjaya menubuhkan syarikat serta mengusahakan perniagaan sendiri. Pendekaran ini membuktikanmeraka mampu menjadi individu produktif,” jelasnya.

PKAADK Hulu Selangor merupakan antara perintis di Selangor dalam memperkasa pendekatan pemulihan berasaskan komuniti, selari usaha memperluas akses rawatan secara sukarela di peringkat akar umbi.

Sementara itu, sukarelawan AADK, Muhammad Farizal Azman berkongsi pengalaman 15 tahun terjebak dengan dadah sebelum bangkit hasil kesedaran diri dan sokongan keluarga sebagai titik perubahan dalam hidupnya.

“Kesedaran bermula apabila saya melihat harapan ibu bapa yang semakin tua. Saya tampil secara sukarela mendapatkan rawatan dan mengikuti program pemulihan hingga berjaya mengubah kehidupan,” katanya.

Tambahnya, elemen penerimaan dan kemaafan menjadi kunci utama dalam proses pemulihan, selain disiplin diri serta komitmen berterusan terhadap program yang disediakan.

“Jangan rasa pemulihan itu beban, sebaliknya ia peluang kedua. Dengan usaha sendiri dan sokongan komuniti, kita mampu berubah dan kembali diterima masyarakat,” katanya lagi.

Sebanyak 31 PKAADK diwujudkan di seluruh negara sebagai rangkaian sokongan nasional dengan pendekatan komuniti dan sukarelawan menjadi teras kesinambungan rawatan.

AADK menyeru individu terlibat tampil sebagai klien sukarela bagi mendapatkan rawatan awal kerana dengan sokongan komuniti mampu mempercepat proses pemulihan secara holistik dan berkesan.