
KUALA LUMPUR, 24 April – Tindakan majikan yang masih berdegil menggajikan pekerja asing mengundang padah apabila Jabatan Imigresen (JIM) menggempur lapan premis berasingan di sekitar Selangor pada Khamis.
- 45 warga asing ditahan disyaki melanggar Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
- Seramai 88 individu diperiksa, termasuk 66 warga asing dan 22 warga tempatan, hasil aduan awam dan risikan dua minggu.
- JIM tegaskan tindakan tegas tanpa kompromi terhadap majikan yang menggaji pendatang tanpa izin; sembilan saman Borang 29 dikeluarkan.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata operasi secara serentak itu menahan 45 warga asing.
“Serama 88 individu telah diperiksa terdiri daripada 66 warga asing dan 22 warga tempatan berdasarkan maklumat aduan awam serta risikan yang dijalankan selama dua minggu.
Hasil pemeriksaan, seramai 45 individu terdiri daripada warga Bangladesh, Myanmar, India, Nepal dan Indonesia berumur antara 29 hingga 50 tahun telah ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 [Akta 155] serta Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, operasi serentak itu dilaksanakan di lapan lokasi berasingan, melibatkan tiga premis di Semenyih, dua premis di Seri Kembangan dan masing-masing satu premis di Jenjarom, Cheras dan Serdang.
Datuk Zakaria berkata kesemua individu yang ditahan telah ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen Semenyih bagi tujuan siasatan dan tindakan lanjut.
Sembilan saman kepada saksi (Borang 29) telah dikeluarkan kepada warga tempatan bagi membantu siasatan.
“JIM menegaskan bahawa tindakan penguatkuasaan tidak hanya tertumpu kepada warga asing yang melanggar undang-undang, malah turut menyasarkan majikan yang degil, cuai atau sengaja menggaji pendatang tanpa izin.
“Tindakan tegas akan diambil tanpa kompromi terhadap mana-mana pihak yang melindungi atau memberi pekerjaan kepada warganegara asing secara tidak sah,” katanya.