IPPTAR rangka garis panduan penggunaan AI dalam kewartawanan

Pengarah IPPTAR, Datuk Roslan Ariffin berucap pada masjlis AI Grand Prix 2.0 IPPTAR International di Kompleks IPPTAR/Foto Facebook IPPTAR

KUALA LUMPUR, 4 Jun – Institut Penyiaran dan Penerangan Tun Abdul Razak (IPPTAR) sedang merangka garis panduan penggunaan kecerdasan buatan (AI) dalam kewartawanan yang dijangka dimuktamadkan menjelang akhir tahun ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Garis panduan dibangunkan dengan kerjasama institusi pengajian tinggi awam dan swasta.
  • Dokumen berpotensi menjadi rujukan pertama di Malaysia untuk etika penggunaan AI oleh pengamal media.
  • AI ditakrifkan sebagai pembantu, bukan pengganti, memudahkan penyelidikan dan mempercepat penyediaan berita.
  • Latihan AI berterusan perlu diberi kepada pengamal media untuk cegah kesilapan dan penyebaran maklumat palsu.

Pengarah IPPTAR, Datuk Roslan Ariffin berkata garis panduan itu dibangunkan dengan kerjasama beberapa institusi pengajian tinggi awam dan swasta.

Katanya, garis panduan yang sedang dibangunkan itu berpotensi menjadi rujukan pertama di Malaysia berkaitan etika penggunaan AI dalam kalangan pengamal media.

“Kita dapati penggunaan AI beberapa tahun lalu tidak diawasi dengan baik sehingga menyebabkan kesilapan yang memberi kesan kepada penyampaian berita.

“Kita perlu beri latihan AI kepada pengamal media itu sendiri dari semasa ke semasa. Tetapi harus diingat AI bukan untuk menggantikan manusia, sebaliknya menjadi pembantu yang memudahkan tugasan harian, termasuk membuat penyelidikan, mendapatkan maklumat tambahan dan mempercepat proses penyediaan bahan berita,” katanya ketika ditemui media pada Seminar Reality Intelligence: AI Innovator Hub di Kompleks IPPTAR, di sini, hari ini.

Beliau berkata langkah tersebut juga penting bagi mengelakkan penyebaran maklumat palsu serta memastikan teknologi berkenaan digunakan secara beretika dalam proses penyampaian berita.

Katanya, latihan berkaitan AI juga perlu diberikan secara berterusan kepada pengamal media bagi memastikan teknologi itu dapat dimanfaatkan secara optimum.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.