Koperasi disaran jadi pemain utama sektor perumahan

Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah/Foto RTM

SUBANG JAYA, 4 Jun Gerakan koperasi disaran tampil sebagai pemain utama dalam sektor hartanah dan perumahan bagi membantu menyediakan penyelesaian kediaman yang lebih inklusif kepada anggota serta masyarakat.

RINGKASAN BERITA AI
  • MyAngkasa Bina jalin kerjasama strategik bersama 12 koperasi untuk meningkatkan akses kepada perumahan berkualiti.
  • Kerjasama membuka peluang pemilikan rumah kepada lebih ramai anggota dan meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap projek koperasi.
  • Koperasi membantu membawa anggota ke institusi kewangan bagi dinilai kelayakan pinjaman; jika layak, pembiayaan disediakan dan pembinaan dilaksanakan.
  • Koperasi diseru berperanan sebagai pemaju, ejen pemasaran, pengumpul pembeli, penyedia pembiayaan dan pemilik tanah strategik untuk pendekatan bersepadu.

Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA), Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah berkata, dengan kekuatan lebih tujuh juta anggota koperasi di seluruh negara, gerakan tersebut memiliki potensi besar untuk berkembang dalam sektor berkenaan.

Menurut beliau, ke arah merealisasikan matlamat itu, MyAngkasa Bina Sdn. Bhd., anak syarikat ANGKASA, telah menjalin kerjasama strategik bersama 12 koperasi bagi meningkatkan akses kepada perumahan berkualiti.

Kerjasama tersebut bukan sahaja membuka peluang pemilikan rumah kepada lebih ramai anggota, malah diyakini mampu meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap projek pembangunan yang dilaksanakan oleh koperasi.

“Dalam konteks ini, kita juga membantu membawa anggota ke institusi kewangan untuk dinilai kelayakan pinjaman. Jika layak, pembiayaan akan disediakan dan pembinaan rumah dilaksanakan berdasarkan model yang ditawarkan.

“Kita menyediakan lima model rumah untuk dipilih mengikut kemampuan. Contohnya, jika seseorang mampu memiliki rumah sekitar RM300,000, mereka boleh memilih model yang bersesuaian,” katanya selepas Majlis Perasmian Penutup dan Penyerahan Watikah Pelantikan Koperasi sebagai Rakan Koperasi MyANGKASA Bina Sdn. Bhd. (MBSB), di sini.

Dalam pada itu, beliau turut menyeru koperasi agar memainkan peranan lebih aktif bukan sahaja sebagai pemaju, malah sebagai ejen pemasaran projek perumahan, pengumpul pembeli, penyedia perkhidmatan pembiayaan serta pemilik tanah strategik.

Jelasnya, pendekatan bersepadu itu merupakan langkah penting dalam memperkasa komuniti melalui pembangunan perumahan yang lebih sistematik, inklusif dan mampu milik.

MyAngkasa Bina Sdn. Bhd. ditubuhkan dengan misi menyediakan penyelesaian perumahan berkualiti, memperkukuh kerjasama antara koperasi serta meningkatkan kesejahteraan ekonomi masyarakat secara mampan.

Sejak penubuhannya, syarikat itu komited membantu rakyat memiliki kediaman yang lebih selesa dan berkualiti menerusi pelbagai projek pembangunan yang dirancang dan dilaksanakan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.