Dasar konsisten pacu keyakinan pelabur

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof/Foto Bernama

KUALA LUMPUR, 4 Jun – Kesinambungan dasar serta kejelasan kerangka kawal selia disifatkan lebih penting berbanding perubahan struktur kementerian atau pertukaran kepimpinan politik dalam memastikan keyakinan pelabur kekal utuh.

RINGKASAN BERITA AI
  • Dasar dan inisiatif mesti dilaksanakan berterusan melalui mekanisme pentadbiran sedia ada seperti Jemaah Menteri dan jawatankuasa kabinet.
  • Kejelasan kerangka kawal selia dan peraturan perlu berada pada tahap sesuai, mengambil kira kepentingan negara bukan hanya pertimbangan ekonomi.
  • Kesepaduan semua pihak serta kekukuhan perkhidmatan awam memastikan pelaksanaan dasar berjalan efektif walaupun berlaku perubahan politik.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, walaupun kementerian boleh disusun semula dan menteri silih berganti, dasar serta strategi yang telah dipersetujui perlu diteruskan secara konsisten.

Menurut beliau, kejelasan dasar dan kerangka kawal selia yang mantap akan memastikan mesej kepada pelabur sentiasa konsisten tanpa mengira perubahan dalam pentadbiran.

“Menteri boleh datang dan pergi, namun yang lebih penting ialah dasar dan strategi yang jelas. Kementerian boleh berubah, disusun semula atau digabungkan, tetapi Malaysia perlu mempunyai sistem yang mampu menangani segala isu yang timbul secara konsisten,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sesi dialog menteri bertajuk Memacu Fasa Pertumbuhan Baharu Malaysia: Tenaga, Ekonomi dan Digital yang Selaras sempena Persidangan Peralihan Tenaga (ETCon26), di sini hari ini.

Tambah beliau, semua dasar dan inisiatif yang telah digubal perlu dilaksanakan secara berterusan melalui mekanisme pentadbiran sedia ada termasuk Jemaah Menteri serta jawatankuasa kabinet.

Jelasnya, platform tersebut berperanan memperincikan dasar serta menyelesaikan sebarang perbezaan pandangan antara kementerian demi memastikan kelancaran pelaksanaan.

Dalam pada itu, beliau menegaskan kepentingan kesepaduan semua pihak tanpa mengira perubahan landskap politik, bagi memastikan kepentingan negara sentiasa menjadi keutamaan.

“Perkhidmatan awam merupakan asas kukuh yang memastikan setiap dasar dan strategi yang dipersetujui dapat dilaksanakan dengan berkesan,” katanya.

Beliau turut menambah bahawa peraturan serta kerangka perundangan perlu berada pada tahap yang sesuai dan tidak hanya dilihat dari sudut ekonomi semata-mata, sebaliknya mengambil kira kepentingan menyeluruh negara.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.