KPDN percepat tindakan undang-undang di bawah kesalahan AKB 1961

Datuk Armizan Mohd Ali (tengah) melihat pam minyak yang dirampas oleh KPDN dalam operasi di kawasan perindustrian Taman Mount Austin / BERNAMA

JOHOR BAHRU, 23 April – Kerajaan akan menyegerakan tindakan undang-undang mahkamah melibatkan kesalahan-kesalahan di bawah Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961 menerusi Op Tiris 4.0 bersepadu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Cadangan SOP termasuk saluran pantas di mahkamah, pelantikan hakim khas dan penyelarasan pengurusan kes antara agensi.
  • Sebanyak 2,227 pemeriksaan dijalankan di Johor dan 23 kes direkodkan.
  • Bahan api diesel merekodkan jumlah kes tertinggi sepanjang operasi yang dilaksanakan sejak 16 Mac.

Langkah tersebut bagi memperkukuh penguatkuasaan ketirisan barang kawalan khususnya bahan api sekali gus memastikan pihak terlibat dihadapkan ke muka pengadilan dengan segera.

Menurut Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali, beberapa prosedur operasi standard (SOP) turut dicadangkan termasuk pelaksanaan saluran pantas (fast track) di Mahkamah, pelantikan hakim khas serta penyelarasan pengurusan kes antara agensi berkaitan.

“Kita mahu menyampaikan isyarat bahawa kerajaan tidak akan berkompromi khususnya dalam menghadapi krisis tenaga dan juga bekalan global ini kita akan mengambil tindakan yang tegas melalui penguatkuasaan yang proaktif merentasi semua agensi penguatkuasaan.”

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau sebuah stesen minyak bersempena dengan lawatan kerja rasmi di Taman Mount Austin di sini, hari ini.

Tambah beliau, sebanyak 2,227 pemeriksaan telah dilakukan di Johor dengan 23 kes direkodkan.

Bahan api diesel mencatatkan jumlah tertinggi sepanjang Op Tiris 4.0 bersepadu dilaksanakan bermula 16 Mac lalu.