
KUALA LUMPUR, 23 April – Bekas penyampai radio legenda RTM Mariamah Tijo meninggal dunia pagi ini.
- Kematian dimaklumkan anaknya, Hatta Othman, melalui hantaran di Facebook.
- Allahyarhamah berusia 76 tahun dan menghembuskan nafas terakhir ketika menerima rawatan di PPUM, Petaling Jaya.
- Dibawa ke hospital selepas mengalami sesak nafas, menghidap beberapa penyakit termasuk strok sejak empat tahun lalu.
- Memulakan kerjaya pada 1972, dikenali sebagai 'suara emas' RTM dan terkenal dengan segmen 'Sebutlah Dengan Betul' serta 'Nada Gurindam'.
Perkara itu dimaklumkan anak Allahyarhamah, Hatta Othman menerusi hantaran di media sosial Facebooknya.
“Ibunda saya, Hajah Mariamah binti Tijo telah pulang ke Rahmatullah pada pukul 5.00 pagi tadi,Khamis 23 April 2026..semoga rohnya dicucuri rahmat..amin,” katanya dalam hantaran tersebut.
Allahyarhamah menghembuskan nafas terakhir pada usia 76 tahun, di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Petaling Jaya.
Anak sulungnya, Muhammad Hafiez Othman, 53 tahun, berkata Allahyarhamah ibunya dibawa ke hospital itu selepas mengalami sesak nafas pada malam Selasa lepas.
Maklum beliau lagi, Allahyarhamah mempunyai beberapa penyakit termasuk strok sejak empat tahun lepas.
Jenazah akan dimandikan dan disolatkan di Masjid Darul Ehsan SS15 Subang Jaya dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam USJ 22 sebelum zuhur.
Allahyarham pernah menerima sumbangan menerusi inisiatif Tabung Kasih@HAWANA pada 20 Mac 2024.
Allahyarhamah Mariamah yang memulakan kerjaya pada tahun 1972 dikenali sebagai ‘suara emas’ RTM dan terkenal dengan segmen seperti ‘Sebutlah Dengan Betul’ dan ‘Nada Gurindam’ ketika bertugas.