MAIWP nafi ada kaitan dengan penyelewengan dana bantuan

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 23 April – Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) menegaskan pihaknya tidak mempunyai sebarang kaitan rasmi berhubung penahanan beberapa individu daripada sebuah Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) atas dakwaan penyelewengan dana bantuan baru-baru ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • MAIWP menyokong tindakan SPRM menyiasat dan membanteras penyelewengan dana kebajikan.
  • MAIWP memberi jaminan pengurusan dana zakat adalah amanah dan diaudit secara berkala.
  • MAIWP diiktiraf 19 tahun berturut-turut untuk tahap ketelusan; laporan dan penyata kewangan ada di www.maiwp.gov.my.

Agensi itu juga menyokong penuh tindakan tegas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat dan membanteras sebarang bentuk penyelewengan yang melibatkan dana Kebajikan.

MAIWP dalam satu kenyataan memberi jaminan kepada seluruh pembayar zakat khususnya di Wilayah Persekutuan bahawa dana zakat akan diurus dengan penuh amanah dan dikawal selia melalui proses audit yang berkala.

Tahap ketelusan dan akauntabiliti MAIWP yang diiktiraf secara konsisten 19 tahun berturut-turut oleh Sijil Bersih Ketua Audit Negara membuktikan MAIWP telah mencapai tahap pengurusan kewangan yang berdisiplin, patuh audit dan bebas daripada penyelewengan.

Pihaknya juga akan memastikan pencapaian terbaik itu tidak akan dicemari oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

Orang ramai juga boleh melayari laman sesawang www.maiwp.gov.my untuk mengetahui Laporan Tahunan dan Penyata Kewangan MAIWP.