Suspek tumbuk bapa hingga maut hidap skizofrenia – Polis

Datuk Mohd Yusoff Mamat

TANAH MERAH, 23 April- Polis mengesahkan suspek yang ditahan berhubung kejadian menyebabkan kematian seorang lelaki warga emas berusia 83 tahun di Kampung Masjid, Baung Bayam, di sini, Isnin lalu, mempunyai masalah mental dipercayai skizofrenia.

RINGKASAN BERITA AI
  • Suspek 41 tahun, anak mangsa, ditahan bagi membantu siasatan.
  • Kejadian berlaku tiba-tiba tanpa pertengkaran, suspek menumbuk mangsa selepas ditegur.
  • Mangsa jatuh, mengalami kecederaan kepala sehingga tengkorak pecah; meninggal di HRPZ II hari sama.
  • Bedah siasat: punca kematian kecederaan tumpul pada kepala, keretakan tengkorak dan pendarahan otak; kes di bawah Seksyen 302.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata suspek berusia 41 tahun itu merupakan anak kepada mangsa dan telah ditahan bagi membantu siasatan.

Menurut beliau, kejadian berlaku secara tiba-tiba tanpa sebarang perselisihan faham atau pertengkaran antara kedua-duanya.

“Ketika kejadian, suspek sedang membuat air di rumah. Mangsa kemudian menegur suspek secara tiba-tiba. Suspek dikatakan terkejut, berpusing dan terus menumbuk mangsa.

“Dia (suspek) juga dikatakan terpingga-pingga (selepas kejadian) dan terus naik ke bilik.,” katanya pada sidang media di Dewan Ibu Pejabat Polis Daerah Tanah Merah, di sini hari ini.

Tambah beliau, kejadian berkenaan turut disaksikan oleh ahli keluarga yang lain.

“Akibat tumbukan itu, mangsa jatuh terlentang dan mengalami kecederaan di kepala sehingga menyebabkan tengkoraknya pecah,” katanya lagi.

Datuk Mohd Yusoff berkata penentuan lanjut mengenai tahap kesihatan mental suspek akan dibuat oleh pakar perubatan.

Terdahulu, mangsa menerima rawatan di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), namun disahkan meninggal dunia pada hari sama.

Hasil bedah siasat mendapati punca kematian adalah akibat kecederaan daya tumpul pada kepala yang menyebabkan keretakan tengkorak dan pendarahan dalam otak.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.