KPDN Kedah rampas, sita 6,000 liter diesel yang disimpan tanpa kebenaran

Antara minyak diesel yang dirampas anggota penguatkuasa KPDN Sungai Petani / RTM

SUNGAI PETANI, 23 April – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kedah merampas dan menyita 6,000 liter minyak diesel yang disimpan tanpa kebenaran.

RINGKASAN BERITA AI
  • Serbuan di tempat pemprosesan batang setanggi/gaharu menemukan enam tong IBC penuh cecair disyaki minyak diesel.
  • Semua barangan disita; nilai rampasan keseluruhan RM31,920.
  • Seorang lelaki tempatan berusia 32 tahun ditahan; kes disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.
  • KPDN mengalu-alukan kerjasama orang awam; ingatkan supaya tidak menyebar maklumat palsu, tindakan undang-undang boleh diambil.

Serbuan dilakukan sepasukan pegawai dan anggota penguatkuasa KPDN Sungai Petani di tempat pemprosesan batang setanggi atau gaharu di Tanah Seribu, Sungai Lalang, Sungai Petani, Kedah.

KPDN Kedah dalam kenyataan berkata, serbuan yang dilakukan sekitar pukul 8:00 pagi itu menemukan enam tong IBC berkapasiti seribu liter dan kesemua tong tersebut penuh berisi cecair disyaki minyak diesel.

Kesemua barangan yang dijumpai semasa serbuan disita dan nilai rampasan keseluruhan berjumlah RM31,920.

Seorang lelaki tempatan berusia 32 tahun yang berada di premis ketika serbuan ditahan untuk siasatan lanjut.

Kes disiasat dibawah kesalahan Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961 kerana memiliki barang kawalan (minyak diesel) tanpa permit menyimpan.

Sehubungan itu, KPDN mengalu-alukan kerjasama orang awam termasuk dalam menyalurkan maklumat berkaitan.

Namun pada masa sama, masyarakat diingatkan agar sentiasa berhemah dan bertanggungjawab dalam berkongsi maklumat serta tidak menyebarkan berita tidak sahih yang boleh mencetuskan situasi panik dan kegusaran awam.

Sebarang perbuatan menyebarkan maklumat palsu atau tidak tepat boleh dikenakan tindakan tegas di bawah peruntukan undang-undang sedia ada.