Mekanik direman empat hari bantu siasatan kes sembunyi kelahiran bayi

Foto RTM

DUNGUN, 28 September – Seorang mekanik direman empat hari bagi membantu siasatan kes seorang pelajar perempuan berusia 19 tahun yang dipercayai menyembunyikan kelahiran bayi lelaki di sebuah asrama institusi pendidikan di daerah ini pada 9 September lalu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pelajar wanita melahirkan bayi di tandas asrama tanpa menyedari dirinya mengandung.
  • Dia menyimpan bayi dalam lokernya dan meminta teman lelaki mengambil serta mengebumikan bayi secara senyap.
  • Pihak masjid dimaklumkan tetapi memaklumkan kejadian kepada pengurusan institusi; siasatan dijalankan di bawah Seksyen 318.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintenden Nik Ab Halim Nik Mat berkata, perintah reman itu dikeluarkan Majistret Ng Yan Ni selepas membenarkan permohonan polis di Mahkamah Majistret Dungun hari ini.

Beliau berkata, lelaki berusia 24 tahun dari Kampung Duyong Kecil, Kuala Terengganu yang dipercayai teman lelaki pelajar berkenaan, ditahan di Jalan Pantai Teluk Lipat, Dungun pada 3.00 petang semalam.

Menurutnya, pelajar perempuan terbabit turut ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dungun pada 6.00 petang semalam, namun dibebaskan dengan jaminan polis atas faktor kesihatan.

Siasatan awal mendapati pelajar berkenaan melahirkan bayi itu di dalam tandas asrama perempuan institusi pendidikan terbabit kira-kira 5.00 petang pada 9 September lalu tanpa menyedari dirinya mengandung.

“Pelajar perempuan itu kemudian menyimpan bayi berkenaan di dalam lokernya tanpa pengetahuan rakan sebilik.

“Dia turut memaklumkan kejadian itu kepada teman lelakinya untuk mendapatkan bantuan mengambil dan mengebumikan bayi tersebut secara senyap,” katanya ketika dihubungi RTM.

Beliau berkata, pelajar berkenaan kemudian menghubungi pihak masjid berhampiran bagi mendapatkan bantuan menguruskan pengebumian bayi itu, namun pihak masjid memaklumkan perkara tersebut kepada pengurusan institusi pendidikan berkenaan.

Siasatan dijalangkan mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.