
KOTA BHARU, 28 September – Seorang lelaki yang identitinya belum dikenal pasti disyaki lemas di Sungai Kelantan ketika cuba melarikan diri daripada serbuan pasukan keselamatan di Kampung Lembah Sireh, di sini, awal pagi tadi.
- Pasukan PGA menahan lima lelaki kira-kira 1.15 pagi semasa serbuan.
- Tangkapan termasuk seorang warganegara Malaysia, tiga warga Pakistan dan seorang warga India.
- Suspek Malaysia mengaku bertindak sebagai tekong darat, menurut soal siasat awal.
- Pasukan merampas sebuah kereta dan sebuah motosikal; pencarian diteruskan bagi mengesan pendatang asing tanpa izin.
Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain, berkata kira-kira 1.15 pagi, pihaknya turut menahan lima lelaki.
Mereka terdiri daripada seorang warga Malaysia, tiga warga Pakistan dan seorang warga India yang dipercayai terbabit dalam aktiviti kemasukan migran secara haram.
“Dalam serbuan awal, pasukan menahan beberapa individu dan merampas sebuah kereta serta sebuah motosikal. Hasil soal siasat awal mendapati lelaki warga Malaysia yang ditahan mengaku berperanan sebagai tekong darat.
“Lelaki berkenaan turut memaklumkan seorang lagi lelaki yang kewarganegaraannya belum dikenal pasti disyaki lemas di sungai berkenaan ketika cuba melarikan diri,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, pencarian semula kemudian dilakukan bagi mengesan baki pendatang asing tanpa izin yang dipercayai masih berada di kawasan sekitar sungai berkenaan.
Makluman turut disampaikan kepada Bilik Gerakan IPD Kota Bharu dan Pasukan Polis Marin bagi tujuan tindakan selanjutnya.