Belanda kesal Israel tarik akreditasi diplomat di Tebing Barat

Foto AFP

THE HAGUE, 29 September – Belanda menyatakan kekesalan terhadap keputusan Israel menarik balik akreditasi diplomatnya yang berpangkalan di Tebing Barat, susulan tindakan Amsterdam melarang import produk dari penempatan Israel di wilayah berkenaan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Israel mengarah pegawai diplomatik Belanda menyerahkan keistimewaan dan meninggalkan Tebing Barat dalam tempoh tujuh hari.
  • Menteri Luar Israel Gideon Saar berkata negara bermusuhan kehilangan pengaruh; Belanda boleh mewakili Palestin dari wilayah dikawal Pihak Berkuasa Palestin.
  • Ketegangan meningkat; Britain, Perancis, Kanada juga kenakan sekatan, PBB lapor purata enam serangan peneroka sehari di Tebing Barat.

Menteri Luar Belanda, Tom Berendsen, menyifatkan keputusan Israel itu sebagai tidak perlu dan memaklumkan beliau akan memanggil Duta Israel ke Belanda bagi membincangkan kesannya terhadap diplomat negara itu.

“Saya amat kesal dengan keputusan yang tidak perlu ini,” katanya pada Isnin.

Berendsen berkata, keputusan Belanda melarang import produk dari penempatan Israel bukan ditujukan terhadap Israel, sebaliknya bagi memastikan negara itu tidak menyumbang kepada keadaan yang disifatkan melanggar undang-undang antarabangsa, termasuk kewujudan penempatan Israel di Tebing Barat.

Israel pada Isnin mengarahkan pegawai diplomatik Belanda menyerahkan keistimewaan diplomatik mereka dan meninggalkan wilayah berkenaan dalam tempoh tujuh hari.

Menteri Luar Israel, Gideon Saar, berkata negara yang bertindak secara bermusuhan dan berat sebelah terhadap Israel akan kehilangan pengaruh dan kepentingannya di rantau berkenaan.

Beliau turut berkata, jika Belanda mahu terus mewakili kepentingannya berkaitan rakyat Palestin, ia boleh berbuat demikian dari wilayah yang ditadbir Pihak Berkuasa Palestin dan bukannya dari wilayah yang dikawal Israel.

Israel menguasai pintu masuk ke Tebing Barat dan mempunyai kuasa terhadap akreditasi diplomat di wilayah Palestin berdasarkan pengaturan yang dipersetujui menerusi Perjanjian Oslo pada 1990-an.

Pihak Berkuasa Palestin mengecam tindakan Israel itu, dengan menyifatkannya sebagai usaha mengehadkan kehadiran antarabangsa dan diplomatik di Palestin.

Ketegangan antara Israel dan negara-negara Barat meningkat susulan isu penempatan Israel di Tebing Barat.

Belanda mengenakan sekatan import berkenaan pada Julai ketika serangan peneroka Israel terhadap rakyat Palestin semakin meningkat serta terdapat gesaan dalam kalangan ahli politik Israel untuk mengilhakkan wilayah terbabit.

Britain, Perancis dan Kanada turut mengumumkan pada awal September bahawa mereka akan mengenakan sekatan terhadap perdagangan dari penempatan Israel. Israel kemudian bertindak menutup konsulat Britain di Baitulmaqdis.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkata peneroka ekstremis bertanggungjawab terhadap purata enam serangan sehari ke atas rakyat Palestin dan harta benda mereka di Tebing Barat sepanjang 2026.

Pada masa sama, rakyat Palestin turut melancarkan serangan terhadap warga Israel, termasuk insiden tembakan yang mengorbankan seorang peneroka minggu lalu dan serangan merempuh kenderaan yang menyebabkan anak lelaki Duta Israel ke Washington, yang merupakan anggota tentera, cedera parah.-AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.