Ketegangan Selat Hormuz memuncak: Iran rampas dua kapal kontena

FOTO REUTERS

WASHINGTON, 23 April- Iran bertindak merampas dua buah kapal kontena di Selat Hormuz pada Rabu, sekali gus mengukuhkan cengkamannya di laluan maritim strategik itu selepas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump membalas dengan mengekalkan sekatan maritim tanpa sebarang petanda rundingan damai akan bermula semula.

RINGKASAN BERITA AI
  • IRGC menuduh kapal beroperasi tanpa permit, mengganggu pelayaran, dan mengisytiharkan sebarang gangguan di selat sebagai 'garisan merah'.
  • Sekatan laluan menyebabkan gangguan bekalan tenaga paling buruk, mengurangkan trafik kapal dari 130 kepada beberapa buah dan menaikkan harga minyak.
  • AS mengecam rampasan sebagai 'aktiviti lanun', menuding kelemahan tentera laut Iran; rundingan damai ditangguhkan walaupun Pakistan cuba menjadi perantara.

Rakaman video yang disiarkan oleh televisyen negara Iran pada awal pagi Khamis memaparkan anggota tentera bersenjata menaiki kapal MSC Francesca yang mengibarkan bendera Panama dan Epaminondas yang berbendera Liberia.

Video berkenaan menunjukkan bot laju yang mengibarkan bendera Iran menghampiri kapal tersebut di tengah laut sebelum anggota tentera menaiki kapal dengan senjata api.

Rampasan MSC Francesca disahkan oleh Menteri Hal Ehwal Maritim Montenegro, yang menyatakan empat pelaut warga negaranya berada di atas kapal tersebut dan mengesahkan kesemua kru berada dalam keadaan selamat.

Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) menuduh kedua-dua kapal berkenaan beroperasi tanpa permit yang diperlukan selain sengaja mengganggu sistem pelayaran kapal.

IRGC turut memberi amaran bahawa sebarang gangguan terhadap keselamatan di selat itu dianggap sebagai “garisan merah”.

Tindakan Iran menyekat laluan di selat berkenaan, yang digunakan untuk mengangkut kira-kira satu perlima daripada bekalan minyak dan gas harian dunia, telah menyebabkan gangguan bekalan tenaga paling buruk dalam sejarah.

Laluan yang biasanya dilalui 130 kapal sehari kini merosot mendadak kepada hanya beberapa buah kapal, menyebabkan harga minyak mentah Brent melonjak melebihi AS$100 setong.

Speaker Parlimen Iran, Mohammad Baqer Qalibaf menerusi hantaran di X menegaskan pembukaan semula selat itu adalah mustahil selagi AS tidak menarik balik sekatan perdagangan.

“Anda tidak mencapai matlamat melalui pencerobohan tentera dan anda juga tidak akan mencapainya melalui pembulian. Satu-satunya jalan adalah dengan mengiktiraf hak rakyat Iran,” tegasnya.

Sementara itu, Setiausaha Akhbar White House, Karoline Leavitt menyifatkan rampasan itu sebagai “aktiviti lanun” namun mendakwa ia bukan pelanggaran gencatan senjata memandangkan kapal terbabit bukan milik AS atau Israel.

Beliau turut mendakwa penggunaan bot meriam kecil membuktikan keupayaan tentera laut Iran sebenarnya telah terjejas akibat konflik sejak Februari lalu.

Dalam pada itu, Pakistan yang bertindak sebagai perantara dilaporkan masih berusaha untuk menghidupkan kembali rundingan damai selepas kedua-dua pihak gagal menghadirkan diri dalam sesi perbincangan di Islamabad pada Selasa.

Dengan rundingan damai yang kini ditangguhkan dan AS mula mengenakan sekatan balas terhadap kapal-kapal Iran, nasib laluan perkapalan melalui arteri ekonomi dunia itu terus berada dalam ketidaktentuan. – REUTERS