Empat calon Setiausaha Agung PBB bentang visi, tekad pulihkan imej pertubuhan

FOTO REUTERS

NEW YORK, 23 April – Empat calon yang bersaing untuk jawatan Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) menjalani sesi pendengaran secara langsung pada Selasa dan Rabu, bagi membentangkan bidaan masing-masing untuk menerajui badan dunia itu bermula tahun depan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Bachelet tekankan komitmen kepada hak wanita dan akan pertahankan agenda hak wanita walaupun menghadapi tentangan.
  • Rafael Grossi menyeru reformasi PBB menyeluruh supaya organisasi turun dari menara gading dan selesaikan masalah di peringkat akar umbi.
  • Calon lain janji utamakan pendamaian, turun ke lapangan dan menjadi penghubung untuk memulihkan kepercayaan serta keberkesanan PBB.

Bekas Presiden Chile, Michelle Bachelet, ketika sesi pada Selasa menegaskan komitmennya terhadap hak wanita meskipun berdepan tentangan daripada beberapa pihak di Washington yang menggesa veto dikenakan terhadap pencalonannya berikutan pendirian beliau mengenai isu pengguguran kandungan.

Bachelet, 74, yang juga bekas Pesuruhjaya Tinggi PBB bagi Hak Asasi Manusia, berkata beliau sedia maklum mengenai surat daripada lebih 20 penggubal undang-undang Republikan Amerika Syarikat (AS) yang menuduhnya mengutamakan “agenda pengguguran ekstrem.”

Beliau menegaskan akan sentiasa berdiri di sisi wanita dan memastikan agenda PBB mengenai hak golongan itu dilaksanakan sepenuhnya.

Bachelet bakal berdepan persaingan daripada tiga calon lain iaitu Ketua agensi pemantau nuklear PBB, Rafael Grossi dari Argentina; bekas Naib Presiden Costa Rica, Rebeca Grynspan; dan bekas Presiden Senegal, Macky Sall.

Rafael Grossi, 65, dalam sesinya menekankan keperluan reformasi PBB yang lebih menyeluruh.

Beliau yang mahir dalam empat bahasa dan berpengalaman luas dalam diplomasi berkata, PBB tidak seharusnya sekadar menjadi institusi yang menyampaikan pesanan dari “menara gading,” sebaliknya perlu berfungsi menyelesaikan masalah di peringkat akar umbi.

Sementara itu, Rebeca Grynspan berikrar untuk menjadikan usaha pendamaian sebagai keutamaan sekiranya terpilih.

Beliau memberi amaran bahawa kepercayaan terhadap PBB semakin terhakis dan masa kian suntuk untuk memulihkannya.

Grynspan menyatakan kesediaan untuk menjadi pendamai yang turun ke lapangan dan berbicara dengan semua pihak yang terlibat dalam konflik.

Dalam pada itu, Macky Sall menyuarakan hasratnya untuk menjadi ejen penghubung bagi mengembalikan kepercayaan masyarakat antarabangsa terhadap PBB agar organisasi itu dapat kembali memberikan perkhidmatan yang berkesan untuk semua pihak.

Setiausaha Agung PBB ke-10 akan dipilih tahun ini bagi tempoh penggal lima tahun bermula 1 Januari 2027, menggantikan Antonio Guterres dari Portugal.

Peneraju baharu itu bakal menggalas tugas berat untuk memulihkan organisasi yang kini dianggap sedang mengalami krisis identiti dan penyusutan pengaruh, di tengah-tengah tindakan kuasa besar yang semakin kerap mengetepikan norma antarabangsa.

Meskipun hanya empat calon yang dinamakan setakat ini, perlumbaan jawatan tertinggi itu masih terbuka kepada penyertaan calon-calon lain dalam tempoh beberapa bulan akan datang. – REUTERS