Sepanyol jamin bekalan bahan api pesawat mencukupi

Gambar hiasan./foto REUTERS

OVIEDO, 23 April – Syarikat penapis minyak utama Sepanyol memberi jaminan bekalan bahan api penerbangan mencukupi sehingga Mei ini, meskipun wujud kebimbangan mengenai risiko kekurangan bekalan menjelang musim panas jika konflik melibatkan Iran berterusan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pengeluar minyak utama seperti Repsol, Moeve dan BP meningkatkan pengeluaran untuk memenuhi lonjakan permintaan menjelang musim pelancongan.
  • Sepanyol menghasilkan hampir 80 peratus keperluan bahan api domestik, meletakkan negara itu lebih kukuh berbanding banyak negara Eropah.
  • IEA laporkan rizab bahan api pesawat Eropah sekitar enam minggu; beberapa syarikat penerbangan Eropah mengurangkan operasi, manakala syarikat Sepanyol merancang tingkat kapasiti.

Beberapa syarikat gergasi termasuk Repsol, Moeve, dan BP kini giat meningkatkan pengeluaran bagi memenuhi permintaan yang dijangka melonjak pada musim pelancongan akan datang.

Langkah proaktif itu diambil ketika Sepanyol bersedia menerima lebih 100 juta pelancong antarabangsa tahun ini, sekali gus menjadikan kestabilan bekalan bahan api sebagai faktor kritikal bagi mengelakkan gangguan jadual penerbangan pada waktu puncak.

Menurut Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA), Eropah kini mempunyai rizab bahan api pesawat bagi tempoh kira-kira enam minggu.

Ketua Pegawai Eksekutif Repsol, Josu Jon Imaz sebelum ini memberi amaran mengenai kemungkinan krisis bahan api di benua tersebut akibat peperangan, namun beliau optimis kedudukan Sepanyol jauh lebih kukuh berbanding negara jiran.

Sementara itu, Menteri Peralihan Ekologi Sepanyol, Sara Aagesen dalam kenyataannya Selasa lalu cuba meredakan keresahan awam dengan menegaskan negara itu menghasilkan hampir 80 peratus keperluan bahan api domestik sendiri.

“Kedudukan ini meletakkan Sepanyol di tempat yang istimewa berbanding banyak negara Eropah lain,” jelasnya.

Sementara itu beberapa syarikat penerbangan Eropah mula menyesuaikan operasi ekoran kenaikan kos dan kebimbangan kekurangan stok.

Syarikat Jerman, Lufthansa dilaporkan bakal mengurangkan 20,000 penerbangan antara April hingga Oktober ini, langkah yang turut diikuti oleh KLM dan SAS.

Bagaimanapun, syarikat penerbangan di Sepanyol setakat ini belum mengumumkan sebarang pembatalan, sebaliknya merancang untuk meningkatkan kapasiti bagi menyokong sektor pelancongan menerusi strategi lindung nilai kewangan dan sokongan pengeluaran tempatan.

Pihak Persatuan Syarikat Penerbangan Sepanyol (ALA) memaklumkan tiada ancaman bekalan buat masa ini, namun menasihatkan pengguna agar membuat tempahan tiket lebih awal bagi mengelakkan impak kenaikan harga. – BERNAMA