
PUTRAJAYA, 22 April– Jabatan Kerja Raya (JKR) sedang melaksanakan pemantauan rapi serta penambahbaikan sistem saliran dan infrastruktur bagi menampung aliran air hujan susulan insiden banjir lumpur di Bukit Kiara, Kuala Lumpur.
- Kerja pemulihan infrastruktur di kawasan terjejas kini berada pada fasa akhir.
- Pusat kawalan ditubuhkan melibatkan JKR, DBKL dan kontraktor untuk pemantauan berterusan.
- Keberkesanan penambahbaikan perlu dibuktikan melalui ujian apabila berlaku aliran air hujan.
- DBKL mengarahkan pemberhentian kerja projek di Zon Pentadbiran Taman Persekutuan Bukit Kiara demi keselamatan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh memaklumkann kerja-kerja pemulihan infrastruktur di kawasan terjejas kini berada pada fasa terakhir untuk disiapkan.
Tambah beliau, sebuah pusat kawalan turut diwujudkan melibatkan kerjasama JKR, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan pihak kontraktor bagi memastikan pemantauan berterusan dapat dilakukan di lokasi kejadian.
“Setakat ini, saya melihat kerja-kerja penambahbaikan hampir selesai, namun keberkesanannya perlu diuji dengan aliran air hujan terlebih dahulu. Saya juga telah memaklumkan perkara ini kepada Menteri Kerja Raya serta Menteri KPKT memandangkan tapak projek ini di bawah seliaan Jabatan Landskap Negara manakala kontraktornya pula dilantik oleh JKR.”
“Justeru, pemantauan rapi daripada semua pihak terlibat sedang berjalan bagi memastikan masalah ini diselesaikan sepenuhnya,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Tuition Mission Putrajaya 2026 di Putrajaya, hari ini.
Terdahulu, DBKL telah mengeluarkan arahan pemberhentian kerja serta-merta terhadap sebuah projek pembangunan di Zon Pentadbiran Taman Persekutuan Bukit Kiara susulan kejadian banjir lumpur di Jalan Abang Haji Openg, Sabtu lalu.
Langkah tegas itu diambil bagi menjamin keselamatan penduduk setempat serta memastikan insiden serupa tidak berulang pada masa akan datang.