
KUALA LUMPUR, 22 April – Pendekatan diplomasi dilihat sebagai jalan terbaik dalam meredakan ketegangan geopolitik di Asia Barat.
- Penyelesaian jangka panjang memerlukan rundingan berterusan antara pihak terlibat, bukan tindakan ketenteraan semata-mata.
- Sambutan terhadap lanjutan gencatan senjata AS-Iran dilihat membuka ruang penting untuk rundingan diteruskan.
- Tekanan terhadap laluan strategik seperti Selat Hormuz menjejaskan rantaian bekalan global dan kestabilan ekonomi perdagangan antarabangsa.
- Sekatan AS terhadap perairan Iran memberi kesan negatif kepada Malaysia; kapal tangki terpaksa berpatah balik, menimbulkan kebimbangan bekalan tenaga.
Felo Majlis Profesor Negara, Profesor Dr. Azmi Hassan berkata penyelesaian jangka panjang terhadap konflik berkenaan tidak dapat dicapai melalui tindakan ketenteraan semata-mata, sebaliknya memerlukan rundingan berterusan antara pihak-pihak terlibat.
Beliau menyambut baik pengumuman Presiden Amerika Syarikat Donald Trump untuk melanjutkan tempoh gencatan senjata dengan Iran yang disifatkannya sebagai membuka ruang penting kepada usaha rundingan diteruskan, disebalik ketegangan yang kian meruncing kini.
Jelasnya, tekanan terhadap laluan strategik seperti Selat Hormuz memberi kesan langsung kepada rantaian bekalan global, sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap kestabilan ekonomi dan perdagangan antarabangsa.
Sekatan yang dikenakan Amerika Syarikat di perairan Iran jelas memberi implikasi besar kepada negara yang mempunyai hubungan dagang dengan Tehran, termasuk Malaysia.
“Tetapi dari sudut lain, khususnya kepada Malaysia, sekatan yang dikenakan telah menyebabkan Iran terus berdiam diri, namun pada masa sama memberi kesan negatif kepada negara. Dalam tempoh kurang 24 jam lalu, lima kapal tangki yang sepatutnya menuju ke Malaysia terpaksa berpatah balik ke pelabuhan Iran. Hakikatnya, perdagangan Malaysia dengan Iran tidak menimbulkan sebarang isu kerana sekatan tersebut bersifat unilateral,” katanya ketika ditemubual RTM.
Menurut beliau, ketegangan yang berterusan di rantau berkenaan, termasuk gangguan penghantaran minyak melalui Selat Hormuz, berisiko meningkatkan harga tenaga global serta menjejaskan kestabilan ekonomi negara yang bergantung kepada import tenaga.
“Situasi ini menuntut pendekatan berhati-hati serta kerjasama diplomatik yang lebih kukuh bagi memastikan laluan perdagangan antarabangsa kekal selamat dan tidak terjejas,” katanya.