
PUTRAJAYA, 22 April – Malaysia sekali lagi menegaskan minyak diesel kira-kira 200 juta liter yang didakwa dihantar ke Australia, bukan milik negara ini seperti mana yang dilaporkan agensi berita dari negara berkenaan.
- Menteri Fahmi Fadzil menafikan dakwaan diesel dikaitkan dengan Malaysia, selepas semakan MTEN dan pihak lain mengesahkan bukan milik negara.
- Australia ada kontrak dengan BP; diesel disimpan di gudang dalam perairan Malaysia dan kapal akan berlepas dari negara ini.
- PM Anwar menegaskan keutamaan bekalan domestik; Malaysia hanya membekal lebihan kepada Australia selepas memastikan keperluan negara dipenuhi.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata terdapat laporan daripada sebuah agensi berita Australia yang mendakwa penghantaran 200 juta liter diesel itu melibatkan beberapa negara termasuk Brunei dan Malaysia.
Beliau yang juga jurucakap Kerajaan MADANI menegaskan dakwaan itu sama sekali tidak benar.
“Semakan dengan pihak Pusat Arahan Komunikasi di bawah Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) serta beberapa pihak yang lain mengesahkan bahawa diesel tersebut bukan milik Malaysia.
“Situasi itu sama seperti kes penghantaran diesel ke Filipina sebelum ini,” katanya dalam sidang media mingguan selepas Mesyuarat Jemaah Menteri di Putrajaya.
Jelasnya, pihak Australia telah mempunyai kontrak perdagangan dengan syarikat British Petroleum (BP) yang mempunyai gudang penyimpanan di perairan Malaysia dan kapal yang akan mengangkut diesel tersebut akan berlepas dari Malaysia.
Sebelum ini, terdapat dakwaan segelintir pihak menyatakan bahawa kerajaan menjual bekalan minyak kepada Australia ketika dunia sedang berdepan isu ketidaktentuan bekalan tenaga.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim juga sekali lagi menegaskan Malaysia memberi keutamaan kepada keperluan bahan api domestik sebelum membekalkan sebarang lebihan kepada Australia.
Beliau berkata melalui perbincangan dengan rakan sejawatannya dari Australia, Anthony Albanese sebelum ini, kedua-dua negara faham dengan masalah keperluan yang dihadapi masing-masing.