MCMC terima 463 aduan palsu berkait krisis tenaga

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil bercakap pada sidang media mingguan Kabinet di Menara Komunikasi, Putrajaya/Foto BERNAMA

PUTRAJAYA, 22 April – Sebanyak 463 permohonan penurunan kandungan palsu berkaitan krisis tenaga global diterima Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) setakat pagi tadi.

RINGKASAN BERITA AI
  • MCMC membuka 65 kertas siasatan, dengan satu kes diputuskan untuk didakwa di mahkamah.
  • Lima kes disyorkan oleh Peguam Negara untuk dikenakan kompaun, baki kes masih dalam siasatan.
  • Semua aduan akan dikemukakan MCMC kepada penyedia platform media sosial untuk tindakan susulan sewajarnya.
  • Kandungan palsu paling tinggi melibatkan isu harga bahan api dan keadaan di Selat Hormuz.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 65 kertas siasatan telah dibuka, dengan satu kes diputuskan untuk didakwa di mahkamah.

Tambah beliau, semua permohonan yang diterima oleh orang awam itu akan dikemukakan oleh MCMC kepada penyedia platform media sosial berkaitan untuk tindakan susulan sewajarnya.

“Lima kes telah mendapat nasihat Peguam Negara untuk dikenakan kompaun, manakala bakinya masih dalam siasatan.

“Untuk makluman rakan media, kandungan berita palsu tertinggi melibatkan isu harga bahan api dan Selat Hormuz.” katanya dalam sidang media mingguan di sini.

Berdasarkan aduan yang diterima, jumlah permohonan tertinggi melibatkan platform Facebook sebanyak 185, manakala TikTok sebanyak 142, serta platform X sebanyak 131 kandungan.