RM2 juta dana STAR buka 300 peluang kerja veteran industri kreatif

Pengerusi FINAS, Datuk Hans Isaac bercakap ketika sidang media selepas pemantauan di lokasi penggambaran bagi penerima STAR di ibu negara/Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 22 April – Sebanyak RM2 juta diperuntukkan di bawah Dana Supertelefilem Bintang Artis Veteran (STAR) yang membantu membuka kira-kira 300 peluang pekerjaan kepada artis dan kru veteran industri kreatif.

RINGKASAN BERITA AI
  • FINAS melakukan pemantauan lokasi penggambaran untuk memastikan projek mematuhi syarat dan mencapai objektif.
  • Dana diberikan kepada 10 syarikat penerbitan, setiap projek melibatkan sekitar 30 hingga 35 tenaga kerja termasuk pelakon dan kru.
  • Prioriti adalah mengembalikan peluang pekerjaan kepada veteran serta membuka pasaran baharu dengan cerita berkaitan mereka.
  • Inisiatif mempelbagaikan naratif, menyokong pertumbuhan ekonomi kreatif dan FINAS sebagai pemudah cara untuk penambahbaikan dasar.

Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Datuk Hans Isaac berkata, pihaknya melaksanakan pemantauan di lokasi penggambaran bagi memastikan setiap projek di bawah dana itu mematuhi syarat serta mencapai objektif ditetapkan.

Jelas beliau, sebanyak 10 syarikat penerbitan menerima dana berkenaan, dengan setiap projek melibatkan sekitar 30 hingga 35 tenaga kerja termasuk pengarah, pelakon dan kru produksi.

“Pada permulaan, kita merancang untuk tiga hingga lima projek, namun selepas penilaian bersama Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Komunikasi dan Menteri Komunikasi, jumlah itu ditambah kepada 10 kerana dilihat memberi manfaat besar kepada industri.

“Dana ini juga merupakan projek perintis dengan jumlah awal RM1 juta sebelum ditingkatkan kepada RM2 juta, dan kita akan menilai serta menambah baik pelaksanaannya untuk fasa seterusnya,”

“Prioriti kita adalah mengembalikan peluang pekerjaan kepada veteran, selain membuka pasaran baharu dengan cerita berkaitan mereka serta memberi suntikan semangat agar terus berkarya,” katanya.

Beliau ditemui semasa melakukan pemantauan di lokasi penggambaran supertelefilem ‘Makcik Lesen P’ di sini, hari ini.

Pelaksanaan dana itu turut membuka ruang kepada kandungan berteraskan golongan veteran yang jarang diketengahkan, sekali gus memperluas kepelbagaian naratif dalam industri penyiaran tempatan.

Dalam masa sama, inisiatif tersebut menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi kreatif melalui kerjasama bersama penyiar serta memberi peluang penjanaan pendapatan jangka panjang kepada penerbit tempatan.

Datuk Hans turut menyatakan komitmen FINAS untuk terus berperanan sebagai pemudah cara dan pemantau bagi memastikan keberkesanan dana, selain menjadikannya asas kepada penambahbaikan dasar pada masa hadapan.