
PUTRAJAYA, 22 April – Pelaksanaan Bekerja Dari Rumah (BDR) bagi sektor awam, berjaya menjimatkan 334,000 liter minyak bersamaan kira-kira RM678,000 dalam tempoh 15 April hingga semalam.
- Pelaksanaan Bekerja Dari Rumah (BDR) bagi sektor awam berjaya menjimatkan penggunaan bahan api secara ketara.
- Inisiatif itu melibatkan kira-kira 155,000 penjawat awam.
- Perdana Menteri arah kementerian kurangkan perjalanan, utamakan mesyuarat dalam talian; Ketua Setiausaha Negara diminta kumpul data sektor swasta tentang BDR.
Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata inisiatif tersebut melibatkan 155,000 penjawat awam.
Beliau yang juga Jurucakap Kerajaan MADANI berkata dalam mesyuarat kabinet hari ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sekali lagi menegaskan supaya Jemaah Menteri mengamalkan pendekatan menyeluruh di setiap kementerian bagi mengoptimumkan penggunaan bahan api.
“Ini termasuk dengan melaksana lebih banyak mesyuarat secara dalam talian, iaitu mengurangkan mesyuarat secara bersemuka, mengurangkan program dan perjalanan ke luar negara, serta mengutamakan premis agensi atau kerajaan bagi melaksanaan bengkel dan program-program latihan.
“Tan Sri Ketua Setiausaha Negara juga telah diingatkan untuk berusaha mendapatkan maklumat daripada sektor swasta tentang pelaksanaan bekerja dari rumah bagi sektor tersebut untuk melihat secara keseluruhan penjimatan yang berjaya diperoleh,” katanya dalam sidang media mingguan selepas mesyuarat Jemaah Menteri di sini, hari ini.