LTAT nilai pembida BPlant berdasarkan kriteria ditetapkan

Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT)

KUALA LUMPUR, 18 November – Penilaian terhadap pembida bagi cadangan transaksi melibatkan Boustead Plantations Berhad (BPlant) dilaksanakan menerusi proses bidaan kompetitif berdasarkan kriteria yang ditetapkan lebih awal.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pembida mesti GLC dan/atau syarikat Bumiputera, disahkan oleh penasihat pihak ketiga bebas sebelum dijemput menyertai proses bidaan.
  • Kriteria penilaian termasuk kepastian pelaksanaan, keupayaan pembiayaan terbukti dan kesesuaian strategik serta komitmen pembida, bukan hanya saiz syarikat.
  • Kesinambungan komitmen terhadap komuniti Angkatan Tentera menjadi sebahagian daripada pertimbangan.
  • Proses kelulusan melibatkan Panel Pelaburan, Lembaga Pengarah dan pihak berkuasa kawal selia; pengumuman dibuat pada masa sesuai, kepentingan pencarum diutamakan.

Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dalam kenyataan memaklumkan, antara syarat utama yang ditetapkan ialah pembida mestilah terdiri daripada syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan/atau syarikat Bumiputera.

Status berkenaan perlu disahkan oleh penasihat pihak ketiga bebas sebelum syarikat terbabit dipelawa menyertai proses bidaan.

Menurut LTAT, kriteria penilaian turut merangkumi kepastian pelaksanaan, termasuk keupayaan pembiayaan yang terbukti, selain kesesuaian strategik berdasarkan keupayaan dan komitmen setiap pembida, bukan semata-mata saiz syarikat.

“Selain itu, kesinambungan komitmen sedia ada terhadap komuniti Angkatan Tentera turut menjadi sebahagian daripada pertimbangan,” menurut kenyataan itu.

LTAT turut mengesahkan semua pembida bagi cadangan transaksi berkenaan merupakan GLC dan/atau syarikat Bumiputera, selaras dengan garis panduan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

Proses kelulusan pula melibatkan Panel Pelaburan, Lembaga Pengarah serta pihak berkuasa kawal selia berkaitan.

“LTAT hanya akan membuat pengumuman dan pendedahan sewajarnya pada masa yang bersesuaian mengikut keperluan, dengan kepentingan pencarum terus menjadi keutamaan,” menurut kenyataan itu.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.