
KUALA LUMPUR, 18 Jun – Sebuah bangunan lama di Sekolah Kebangsaan Danau Perdana, Taman Desa, terbakar malam tadi, namun tiada mangsa dilaporkan terjejas.
- Kebakaran membabitkan tingkat satu bangunan sekolah yang sudah tidak digunakan; kawasan sekitar 30 x 50 kaki, kemusnahan dianggarkan 10 peratus.
- Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan oleh pihak berkuasa.
- Operasi melibatkan 24 anggota dan lima jentera, kebakaran dikawal sepenuhnya pada 11.05 malam selepas panggilan pada 10.34 malam.
Komander Operasi Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Kuala Lumpur, Umar Farook Sadoon memaklumkan, kebakaran membabitkan tingkat satu bangunan sekolah yang sudah tidak digunakan.
“Kawasan terjejas melibatkan keluasan kira-kira 1,500 kaki persegi dengan kadar kemusnahan dianggarkan 10 peratus,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurutnya lagi, punca kebakaran dan jumlah kerugian masih disiasat.
Terdahulu, PGO Kuala Lumpur menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 10.34 malam.
Sepasukan anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seputeh dengan bantuan daripada BBP Hang Tuah serta BBP Sri Petaling, digerakkan ke lokasi dan tiba beberapa minit kemudian.
“Pasukan bomba bertindak menjalankan operasi pemadaman dan kebakaran berjaya dikawal sepenuhnya pada pukul 11.05 malam,” katanya.
Operasi pemadaman membabitkan 24 anggota bomba serta lima jentera termasuk tiga Fire Rescue Tender (FRT), sebuah tangki air dan sebuah kenderaan utiliti.