
HOUSTON, 18 Jun – Portugal terpaksa akur seri 1-1 menentang Congo dalam aksi Kumpulan K Piala Dunia di sini, pada Rabu, selepas gagal mempertahankan kelebihan pada awal permainan.
- Joao Neves menjaringkan gol awal melalui tandukan hasil hantaran Pedro Neto pada minit keenam.
- Portugal menguasai permainan tetapi gagal menambah jaringan walaupun mendominasi penguasaan bola.
- Cristiano Ronaldo kekal tanpa gol pada Piala Dunia ini, menghadapi kesukaran mencari sentuhan penyudah.
- Yoane Wissa menyamakan kedudukan dengan tandukan, gol pertama Congo di Piala Dunia selepas 52 tahun; kumpulan kini lebih sengit.
Skuad kendalian Roberto Martinez bermula garang apabila Joao Neves menanduk masuk hantaran Pedro Neto seawal minit keenam untuk meletakkan Portugal di hadapan.
Namun, penguasaan bola gagal diterjemahkan kepada jaringan tambahan.
Bintang utama Portugal, Cristiano Ronaldo, yang memburu gol pada Piala Dunia keenamnya, turut buntu mencari sentuhan penyudah.
Congo pula tidak gentar dengan reputasi besar lawan, sebaliknya tampil berani hingga berjaya mencipta detik bersejarah pada masa kecederaan separuh masa pertama.
Yoane Wissa menanduk masuk hantaran Arthur Masuaku untuk menyamakan kedudukan, sekali gus menjaringkan gol pertama Congo dalam sejarah penyertaan Piala Dunia.
Keputusan itu cukup bermakna buat Congo, yang kembali ke pentas Piala Dunia buat kali kedua, selepas 52 tahun.
Satu mata yang dikutip kedua-dua pasukan menjadikan perebutan slot ke pusingan seterusnya dalam Kumpulan K semakin sengit.