
KUALA LUMPUR, 22 April – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menegaskan sistem pengesahan ketulenan label keselamatan atau hologram bagi produk kesihatan berfungsi dengan baik dan kekal menjadi komponen penting dalam ekosistem kawal selia produk di negara ini.
- PBKD memantau secara komprehensif pendaftaran, pelesenan dan audit rantaian bekalan bagi keselamatan produk.
- MyUBAT dinaik taraf sebagai platform tunggal untuk mengimbas semua versi label hologram KKM.
- Ketulenan produk boleh disemak di premis farmasi berlesen menggunakan peralatan pengesahan khas KKM.
- KKM akan ambil tindakan tegas terhadap produk tidak berdaftar atau pemalsuan; orang ramai diseru beli dari premis sah dan melapor.
Dalam kenyataan media, KKM memaklumkan dakwaan berhubung kegagalan sistem pengesahan label hologram adalah tidak tepat.
Menurut kementerian itu, sistem berkenaan masih berfungsi dengan baik di bawah pemantauan komprehensif Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD), yang merangkumi proses pendaftaran produk, pelesenan serta audit rantaian bekalan bagi memastikan keselamatan pengguna terus terjamin.
Sebagai langkah pendigitalan dan penambahbaikan berterusan dalam menangani isu pemalsuan, KKM memaklumkan aplikasi MyUBAT telah dinaik taraf sebagai platform tunggal bagi menentukan ketulenan label keselamatan produk.
Aplikasi itu kini berupaya mengimbas semua versi label keselamatan hologram KKM, sama ada versi terdahulu mahupun semasa.
Selain itu, semakan ketulenan produk juga boleh dilakukan di premis farmasi berlesen yang dilengkapi peralatan pengesahan khas KKM.
“KKM tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan penguatkuasaan tegas terhadap mana-mana pihak yang terlibat dalam pengedaran produk tidak berdaftar atau aktiviti pemalsuan label keselamatan.
“Sehubungan itu, orang ramai diseru mendapatkan produk kesihatan hanya daripada premis yang sah, menggunakan aplikasi MyUBAT untuk tujuan semakan, serta segera melaporkan sebarang keraguan kepada pihak berkuasa,” menurut kenyataan itu.
KKM memberi jaminan ekosistem keselamatan produk kesihatan di pasaran negara ini kekal kukuh dan terkawal.